Joe Bryan ledak dua gol buat Fulham. FOTO Agensi
Joe Bryan ledak dua gol buat Fulham. FOTO Agensi
AFP

FULHAM kembali semula ke Liga Perdana selepas kejayaan menewaskan Brentford 2-1 di Wembley pagi ini pada perlawanan yang diiktiraf antara paling mahal dalam bola sepak.

Pemain pertahanan Joe Bryan menjadi wira buat skuad kendalian Scott Parker dalam saingan final play off Liga Kejuaraan apabila menjaringkan dua gol pada aksi tambahan masa selepas kelab London itu terikat tanpa jaringan pada 90 minit permainan.

Henrik Dalsgaard menjaringkan gol lewat buat Brentford namun ia gagal mengubah nasib skuad kendalian Thomas Frank yang tidak pernah beraksi di liga utama Inggeris selama 73 tahun.

Kelab Craven Cottage akan menerima sekitar £135 juta (RM745.7 juta) selepas bangkit daripada penyingkiran musim lepas dan keputusan itu memberikan bos rookie, Parker kejayaan pertama dalam karier pengurusnya.

"Kami sudah melakukan apa yang perlu dilakukan malam ini, tetapi masih ada peningkatan dan ia membuatkan saya bangga dan gembira," kata Parker kepada Sky Sports.

"Kepada semua pemain yang hebat dan semua yang anda lihat, apa yang membuatkan saya begitu gembira adalah melihat sekumpulan pemain yang hanya setahun lalu bergelut secara psikologi, tidak mempunyai tujuan atau pemikiran.

"Saya membimbing pasukan ini hampir setiap hari dan apa yang membuatkan saya bangga saya melihat segalanya mengenai pasukan ini dalam tempoh 12 bulan terakhir."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 8:23 AM