PEMAIN TFC menjalani latihan menjelang pertemuan menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. -FOTO Ihsan TFC
PEMAIN TFC menjalani latihan menjelang pertemuan menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. -FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut anak buahnya dapat mengambil peluang beraksi di tempat sendiri untuk meraih tiga mata apabila melayani kunjungan pasukan jiran, Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Bekas penyerang Terengganu itu turut mengingatkan anak buahnya agar mampu memperagakan aksi sebenar selain bijak memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan.

Katanya, kegagalan mengutip mata penuh pada dua perlawanan berturut-turut sebelum ini seharusnya menjadi pengajaran berguna buat pemainnya berdepan skuad Tok Gajah yang pasti hadir bagaikan 'harimau luka' selepas skuad itu tumpas dua perlawanan berturut-turut kepada Sabah FC 1-2 dan terbaharu 0-3 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC).

"Tiada ungkapan lain kecuali pemain wajib mengambil kesempatan terutama beraksi di tempat sendiri untuk mengutip tiga mata berdepan Sri Pahang dan seharusnya ianya diperolehi.

"Ini kerana kita tidak boleh keciciran mata lagi, saya harap pemain 'ready' berdepan lawan yang sudah pasti mempunyai misi sama merakam kemenangan selepas tumpas pada dua aksi terakhir mereka.

"Saya juga mengharapkan sokongan padu daripada peminat setia mampu menyuntik semangat pemain untuk memperagakan aksi bertenaga dan seterusnya menghadiahkan tiga mata berharga sekali gus memperbaiki kedudukan liga," katanya.

Ketika ditanya mengenai barisan kemungkinan skuadnya, jurulatih kelahiran Kelantan itu belum memutuskan lagi tapi beliau akui sudah ada bayangan pemain yang bakal menggalas cabaran itu.

"Pemain belum pasti lagi siapa yang bakal diturunkan, tapi semua pemain sudah bersedia untuk diturunkan apabila saya perlukan," katanya.

TFC yang kini mengutip sepuluh mata hasil tujuh perlawanan dengan menghuni di tangga ketujuh liga dijangka merehatkan penyerang, Kipre Tchetche selepas pemain itu gagal memberikan impak maksimum dalam dua aksi terakhir liga.

Pengendali berusia 44 tahun itu dijangka bakal menurunkan pemain kebangsaan Namibia, Petrus Shetembi di jentera tengah bergandingan dengan Manuel Ott dan Habib Haroon manakala Kpah Sherman mengetuai jentera serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 4:46 PM