PENYERANG TFC, Tchetche (kiri) dan Sherman menjadi taruhan skuad itu berdepan Sri Pahang FC, Sabtu ini. FOTO TFC
PENYERANG TFC, Tchetche (kiri) dan Sherman menjadi taruhan skuad itu berdepan Sri Pahang FC, Sabtu ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Gandingan penyerang, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche bakal menjadi taruhan Terengganu FC (TFC) dalam misi merobek kubu pasukan Sri Pahang FC pada aksi pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dua musim berturut-turut itu bermula 2020 juga antara watak penting skuad Penyu yang menyasarkan sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan musim ini.

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain mengakui gandingan dua penyerang itu kini semakin menjadi ketika aksi pemanas badan selain tidak mempunyai masalah daripada segi keserasian dan persefahaman kerana sudah lama digandingkan bersama ketika menyarung jersi pasukan KDA FC sebelum ini.

"Kami letak kepercayaan penuh kepada dua pemain import itu, (Sherman dan Tchetche) untuk menggalas tugas sebagai jentera serangan pasukan terutama berdepan Sri Pahang FC Sabtu ini.

"Dua pemain itu pernah digandingkan selama dua musim bersama dalam pasukan Kedah, jadi keserasian dan persefahaman saya lihat tidak ada masalah untuk merobek kubu pasukan lawan Sabtu ini.

"Lagipun Tchetche sebelum ini pernah menyarung jersi TFC selama musim bermula 2018, jadi dia faham apa yang saya inginkan dalam padang," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, petang semalam.

Mengulas lanjut, Nafuzi yang dibantu dua bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar dan Tengku Hazman Raja Hassan bagaimanapun akui cabaran getir menanti anak buahnya dalam aksi sulung itu lebih-lebih lagi skuad Sri Pahang FC mempunyai pemain yang mantap di setiap posisi.

"Perlawanan pertama sudah pasti cabaran yang sukar buat mana-mana pasukan, tambahan pula lawan bukan calang-calang pasukan.

"Ketika aksi persahabatan sebelum ini dengan pasukan itu, walaupun tanpa barisan pemain utamanya, skuad Tok Gajah beraksi dengan baik.

"Jadi saya ingatkan pemain supaya terus fokus dan memberikan komitmen yang tinggi dalam misi mengutip mata dan seterusnya dapat meningkatkan lagi motivasi pemain pada aksi seterusnya," kata jurulatih muda meningkat naik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 8:16 PM