DEVAN memuji persembahan pemain Negeri Sembilan FC selepas melakar kemenangan 2-1, ke atas PJ City FC, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL
DEVAN memuji persembahan pemain Negeri Sembilan FC selepas melakar kemenangan 2-1, ke atas PJ City FC, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC) K Devan, memuji persembahan anak buahnya terutama Herold Goulon, yang menjadi wira pasukan itu selepas menjaringkan dua gol untuk membantu mencatat kemenangan 2-1, ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Liga Super malam tadi.

Tonggak pertahanan berpengalaman itu beraksi cemerlang menerusi jaringan dilakukan pada minit ke-46 dan 75, untuk membantu Negeri Sembilan meraih tiga mata dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

"Jaringan pertama menerusi 'set piece' yang dilakukan Goulon malam ini (malam tadi) bukan sesuatu yang magis, tetapi memang pemain dilatih melakukan penyudah tepat dalam apa juga situasi.

"Dia adalah pemain pertahanan yang begitu berpengalaman dan setakat ini bukan sahaja berjaya membimbing bahagian bawah tetapi juga membantu pasukan mendapatkan gol dan setakat ini beliau (Goulon) sudah menjaringkan empat gol termasuk melalui 'set piece'.

"Jaringan beliau hari ini (malam tadi) adalah jaringan kemenangan, tahniah kepada Goulon dan semua pemain Negeri Sembilan yang memberikan komitmen tinggi serta beraksi amat baik," katanya selepas perlawanan.

Devan yang membantu Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu, akui pasukannya layak memenangi perlawanan itu kerana mencipta banyak peluang jaringan terutama pada separuh masa kedua.

Ketua jurulatih berasal dari Bahau itu akui, anak buahnya dilihat gagal menyerap tekanan pada separuh masa pertama sehingga menyebabkan pemain KL City lebih menguasai permainan.

"Bagaimanapun kesungguhan bahagian pertahanan yang berjaya bertahan dengan baik dan menafikan serangan lawan sekali gus dapat menyekat KL City menjaringkan gol lebih awal.

"Inilah faktor yang membantu kita mendapatkan kemenangan hasil daripada disiplin dan komitmen tinggi setiap pemain, malah jika mereka dapat menyudahkan dengan baik setiap peluang dicipta, mungkin jumlah gol yang dapat dihasilkan berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 5:40 PM