AKSI sengit NSFC dan TFC. FOTO Negeri Sembilan Football Club
AKSI sengit NSFC dan TFC. FOTO Negeri Sembilan Football Club
Mohd Amin Jalil


Seremban: Perubahan taktikal dan formasi dilakukan Negeri Sembilan FC (NSFC) ternyata membuahkan hasil memuaskan apabila berjaya melakar kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam semalam.

Ini diakui pengendali NSFC K Devan yang menyifatkan faktor itu antara penyumbang kepada kemenangan keenam dicapai skuad Hobin Jang Hobin musim ini, walaupun diberikan tekanan yang hebat oleh anak buah Nafuzi Zain.

Menurutnya, biarpun tampil tanpa dua pemain utama - penyerang Matheus Alves akibat penggantungan dan pertahanan, Khir Jones kerana kurang cergas - semua pemain yang diberikan tanggungjawab berjaya menggalas tugas dengan baik.

"Kita ada buat sedikit perubahan taktikal dalam perlawanan malam ini (malam tadi) berikutan ketiadaan dua pemain utama Alves dan Khir Jones, di mana kita guna formasi 3-4-3 berbanding kebiasaannya 3-5-2.

"Saya letakkan tiga pemain di atas iaitu Yashir (Pinto), Gustavo (Almeida) dan Mohammad Izzuddin (Mohd Roslan) dan mereka ini dilihat berjaya memainkan peranan dengan berkesan dalam usaha mendapatkan gol.

"Perubahan ini ternyata memberi impak yang baik kepada persembahan pasukan apabila berjaya menjaringkan dua gol walaupun kita diberikan tentangan sengit oleh Terengganu sepanjang tempoh 90 minit pemainan," kata Devan.

Pengendali berpengalaman itu yang membawa Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu, turut memuji persembahan gandingan Yashir dan Gustavo, yang masing-masing berjaya menjaringkan gol untuk membantu kepada kemenangan itu.

"Kedua-dua pemain ini menunjukkan tahap prestasi baik dan Gustavo, ini gol kedua peribadinya musim ini dan menjaringkan gol kemenangan malam ini.

"Kejayaan ini petanda positif buat pasukan untuk berhadapan dengan cabaran berikutnya, selepas agak lama kita tidak beraksi dalam permainan kompetetif berbanding Terengganu yang beraksi dalam beberapa perlawanan termasuk saingan Piala FA," katanya.

Negeri Sembilan membuka tirai jaringan menerusi Yashir pada minit ke-17, sebelum Kipre Tchetche menyamakan kedudukan pada minit ke-19, sementara gol kemenangan tuan rumah dijaringkan Gustavo pada minit ke-51.

Negeri Sembilan terus mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga carta liga dengan mengumpul 23 mata hasil 13 perlawanan, manakala Terengganu di tangga kelapan dengan 16 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 5:13 PM