DEVAN pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL.
DEVAN pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Kita hanya perlukan kemenangan tapi tidak menyangka jumlah jaringan yang besar terhasil," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan.

Beliau mengulas mengenai kemenangan bergaya yang dicatatkan skuad NSFC selepas menewaskan Perak FC II, 5-0, dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Devan ternyata berpuas hati dengan persembahan dipamerkan anak buahnya yang berjaya membantu pasukan kembali mencatat kemenangan, selepas dua aksi terdahulu menentang Selangor FC II dan Terengganu FC II (TFC II) hanya sekadar mengutip satu mata.

"Pemain menunjukkan kesungguhan, tahap disiplin dan semangat berpasukan yang tinggi dengan berjaya menghasilkan empat gol pada separuh masa pertama selain bijak mengawal kawasan gol daripada serangan pihak lawan.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh membuat penilaian secara keseluruhan tahap prestasi pasukan kerana pasukan lawan turun dengan pemain muda selain tiada pemain import," katanya kepada media selepas aksi malam tadi.

Beliau yang juga pengurus pasukan turut berpuas hati dengan persembahan pemain import baharu, Francis Kone, yang mula mendapat sentuhan selepas 42 hari bersama skuad Hobin Jang Hobin.

Menurutnya, penyerang berasal dari Ivory Coast berusia 30 tahun itu dibawa masuk ke dalam pasukan ketika jendela perpindahan kedua, baru-baru ini.

"Saya lega selepas tiga perlawanan Kone sudah mula menemui sentuhan gol. Kita perlu bagi dia peluang menyesuaikan diri dan kini dia dilihat sudah memahami taktikal pasukan selain mendapat keserasian.

"Sebagai penyerang, dia perlu menjaringkan gol bagi mendapatkan keyakinan diri dan kemungkinan besar prestasinya akan bertambah baik pada perlawanan selepas ini, sekali gus baik untuknya dan juga pasukan.

"Apapun, saya yakin kemenangan diraih malam ini (malam tadi) bakal memberi semangat yang tinggi kepada pemain untuk menghadapi cabaran berikutnya," kata Devan.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak II, Syamsul Mohd Saad akur dengan kekalahan dialami skuad bimbingannya, malah akui terdapat jurang besar antara skuad itu dengan NSFC yang lebih berpengalaman.

Menurutnya, kekurangan dari segi skil individu selain melakukan beberapa kesilapan mudah membuatkan NSFC dapat menjaringkan gol menerusi set piece.

"Dari segi keseluruhan persembahan, pemain dilihat bekerja keras memberikan tentangan dan berusaha mendapatkan gol, namun jelas aksi NSFC lebih baik.

"Kita akan berusaha memperbaiki kelemahan walaupun ia tugas yang mencabar kerana memiliki barisan pemain yang terhad, namun saya berharap moral pemain tidak terganggu dengan kekalahan ini kerana cabaran berikutnya lebih berliku," tegas Syamsul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 1:38 PM