K DEVAN. -FOTO Arkib
K DEVAN. -FOTO Arkib
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC) K Devan memuji barisan pemain pasukan itu selepas melakar kemenangan pertama di laman sendiri musim ini, hasil kemenangan 3-1, ke atas Petaling Jaya (PJ) City FC, dalam aksi Liga Super malam tadi.

Biarpun beliau mengakui tempoh permainan agak tinggi kerana berhadapan pasukan lawan yang bertenaga tinggi, namun pemain Negeri Sembilan kekal fokus pada sebahagian permainan dan berjaya mencipta banyak peluang jaringan.

"Kita layak menang, walaupun ada ketikanya pemain saya hilang konsentrasi terutama pada babak kedua yang memberi ruang kepada PJ City mengawal permainan hingga membolehkan mereka menjaringkan gol penyamaan, namun sikap positif pemain membolehkan kemenangan dapat direalisasikan.

"Pertukaran pemain membabitkan Sean (Eugene Selvaraj) yang kita buat malam ini (malam tadi) begitu menjadi apabila dia dapat menjaringkan gol dan itulah yang seharusnya dilakukan.

"Sebagai pemain simpanan, apabila diberikan peluang mereka kena tunjuk prestasi terbaik dan saya rasa Sean telah berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang malam ini," kata Devan selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Devan juga jelas gembira apabila penyerang import dari Brazil, Matheus Alves berjaya mencatat nama sebagai penjaring untuk musim ini.

"Saya berharap dia (Alves) dapat mengekalkan aksi terbaik itu dan terus menjaringkan gol lagi pada perlawanan akan datang," katanya.

Mengulas mengenai hubungan baiknya dengan ketua jurulatih PJ City, P Maniam, yang pernah menjadi pembantunya ketika membimbing pasukan berkenaan sebelum ini, Devan berkata, di dalam padang ia dilakukan secara profesional.

Beliau menghormati Maniam yang menunjukkan satu prestasi yang baik bersama PJ City dan pujian harus diberikan kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 1:03 PM