DEVAN pada sidang media selepas perlawanan Liga Super malam tadi. -FOTO Mohd Amin Jalil.
DEVAN pada sidang media selepas perlawanan Liga Super malam tadi. -FOTO Mohd Amin Jalil.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: "Pemain tidak beraksi pada tahap keupayaan sebenar selain melakukan banyak kesilapan terutama di bahagian pertahanan. Pada saya ia keputusan yang amat mengecewakan," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan.

Pengendali berpengalaman itu membuat rumusan berkenaan terhadap persembahan pemain skuad Hobin Jang Hobin yang gagal mendapatkan kemenangan selepas sekadar seri 3-3, dengan Kelantan United FC (KUFC), dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Menurut Devan, walaupun memiliki kelebihan, namun anak buahnya mensesiakan peluang mendapatkan tiga mata, malah mereka juga dilihat beraksi dalam tekanan selepas KUFC berjaya menjaringkan dua gol awal.

"Pemain banyak buat kesilapan yang tidak sepatutnya hingga memberi peluang Kelantan United menjaringkan tiga gol.

"Malah, setiap kali kita ketinggalan, pemain dilihat beraksi dalam tekanan untuk mendapatkan gol dan situasi itu membuatkan mereka kerap kali hilang rentak serta gagal mengawal bola dengan baik.

"Disiplin yang mereka pamerkan malam ini (malam tadi) juga kurang baik, walaupun kita berjaya menjaringkan tiga gol dan menyamakan kedudukan untuk kutip satu mata, tapi ini keputusan yang amat mengecewakan saya," katanya kepada media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan ke-12 liga itu, NSFC terlebih dulu ketinggalan selepas Jose Elmer Porteria dan Mohd Syazwan Zainon masing-masing meledak gol pertama dan kedua KUFC pada minit ke-15 dan ke-33.

NSFC kemudian membalas menerusi jaringan Shahrel Fikri Md Fauzi dan Mohamad Hafiz Ramdan masing-masing pada minit ke-36 dan 70 sebelum Indra Putra Mahyuddin serta Filemon Anyie Standly melengkapkan jumlah jaringan kedua-dua pasukan pada minit ke-79 dan 90.

Menurut Devan, walaupun fokus utamanya untuk mendapatkan tiga mata pada aksi itu, tetapi sasaran itu ternyata meleset angkara kegagalan pemain melaksanakan tugas seperti diharapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 12:57 PM