SADIO Mane (kiri) cuba menghalang Rodri dalam aksi Liga Perdana Inggeris. -FOTO AFP
SADIO Mane (kiri) cuba menghalang Rodri dalam aksi Liga Perdana Inggeris. -FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester City kekal di puncak Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan satu mata selepas seri 2-2 menentang Liverpool di Stadium Etihad.

Skuad kendalian Pep Guardiola dua kali mendahului permainan menerusi Kevin De Bruyne dan Gabriel Jesus namun Liverpool bangkit menyamakan kedudukan menerusi Diogo Jota dan Sadio Mane.

Dengan hanya tujuh perlawanan berbaki, City dilihat berada di landasan terbaik untuk meraih gelaran keempatnya dalam lima musim dan peluang merangkul treble musim ini menerusi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA.

"Saya tahu ancaman Liverpool di barisan hadapan dan betapa sukarnya mereka. Kami beraksi sangat baik dan saya amat bangga dengan pasukan saya.

"Tujuh perlawanan berbaki, kami perlu menang kesemuanya atau ia akan berakhir. Kami akan bermain untuk itu," kata Guardiola.

Sementara itu De Bruyne melaungkan amaran yang pasukannya masih belum boleh mengimpikan gelaran Liga Perdana Inggeris selepas terikat dengan pesaing tunggal itu.

"Saya sedar orang mengatakan siapa yang menang akan muncul juara. Tetapi saya tidak rasa kedua-dua pasukan berfikir begitu, jadual begitu sukar untuk masing-masing menang kesemua perlawanan.

"Hari ini kami bermain sangat baik, saya rasa kami mempunyai kelebihan. Inilah cara yang perlu kami tampilkan sehingga habis musim ini.

"Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol di babak pertama. Babak kedua bermula sedikit mengecewakan. Secara keseluruhan ia perlawanan hebat dan kami mencipta banyak peluang untuk memenanginya," kata De Bruyne.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 7:19 AM