PEP Guardiola. -FOTO Reuters
PEP Guardiola. -FOTO Reuters
AFP

Manchester: Pep Guardiola menuntut kesempurnaan daripada pasukannya Manchester City menghadapi baki perlawanan untuk terus kekal mendahului Liverpool selepas tamatnya perlawanan penting dengan pencabar kejuaraan Liga Perdana itu.

Keputusan seri 2-2 di Etihad antara kedua-dua pencabar gelaran itu dianggap sebagai penentu kejuaraan biarpun masing-masing masih mempunyai baki tujuh perlawanan.

City terus kekal sebagai pendahulu liga dengan kelebihan satu mata di depan yang ketinggalan 14 mata pada Januari lalu.

Skuad Guardiola bermain dengan baik pada separuh masa pertama meletakkan Liverpool di bawah tekanan namun pasukan pelawat bangkit selepas rehat.

Bos City itu berkata, beliau mempunyai perasaan yang tidak menyenangkan ketika mereka mendahului dan mereka hampir meraih tiga mata penuh pada akhir perlawanan namun rembatan Riyad Mahrez melepasi palang.

"Ia satu perlawanan yang hebat membabitkan kedua-dua pihak yang cuba untuk memenangi setiap perlawanan dalam semua pertandingan.

"Saya mempunyai perasaan bahawa dengan keputusan ini kami mungkin akan terlepas peluang dan terus memberikan mereka peluang," katanya.

Biarpun keputusan seri memberi kelegaan buat City berbanding Liverpool, Guardiola berkata, pasukannya perlu memenangi kesemua tujuh baki perlawanan mereka untuk dinobatkan sebagai Liga Perdana.

"Kami tahu jika kami tewas satu perlawanan, kami tidak akan menjadi juara.

"Tujuh perlawanan berbaki, kami perlu menang kesemuanya atau ia akan berakhir. Kami akan bermain untuk itu," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 7:38 AM