Kedudukan pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menarik perhatian ramai. FOTO AFP
Kedudukan pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menarik perhatian ramai. FOTO AFP
AFP

London: Penyingkiran awal Manchester United pada saingan Liga Juara-Juara bermakna kedudukan Ole Gunnar Solskjaer kembali goyah menjelang kunjungan Manchester City ke Old Trafford awal pagi Ahad ini.

Pastinya, kedua-dua pasukan enggan mengakhiri perlawanan dengan kekalahan.

Pertembungan tetangga Manchester menjadi antara perlawanan yang menarik perhatian pada aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini termasuk kunjungan pendahulu liga Tottenham ke Crystal Palace dan pertembungan juara bertahan, Liverpool di Fulham.

Kedua-dua kelab Manchester tampak makin pulih daripada permulaan perlahan pada kempen musim ini selepas hanya berehat dua minggu akibat komitmen pada saingan Eropah sekitar Ogos.

Skuad kendalian Solskjaer meneruskan rentak kemenangan dalam empat perlawanan liga dan mendakwa mampu meneruskan pemburuan gelaran kejuaraan liga pertama sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013 sekali pun aksi Red Devils terumbang-ambing.

Namun di sebalik kemenangan itu di tambah dengan aksi longlai di bahagian pertahanan menyaksikan kekalahan 2-3 kepada RB Leipzig pertengahan minggu lalu, bermakna tekanan sekali lagi akan dirasai jurulatih dari Norway itu.

Kekalahan keempat dalam enam saingan Liga Perdana di Old Trafford musim ini boleh menyaksikan Red Devils menamatkan minggu ini dengan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, walaupun memiliki satu perlawanan dalam tangan.

City hanya satu mata di belakang United di kedudukan ketujuh, namun skuad Pep Guardiola tampak sudah mendapat semula prestasi selepas dua kemenangan berturut-turut buat pertama kali musim ini.

Berbeza dengan United dalam Liga Juara-Juara, City mudah mara ke kelompok 16 terakhir berbaki dua perlawanan.

Sekali gus membolehkan Guardiola merehatkan Kevin De Bruyne dan Gabriel Jesus untuk pertembungan tetangga itu.

"Apabila anda menang ia adalah lebih mudah untuk beraksi pada perlawanan berikutnya, ia adalah lebih mudah untuk menang lagi dan lagi," kata Bernardo Silva selepas menang 3-0 ke atas Marseille semalam.

"Kami mahu meneruskan rentak mengharungi perlawanan sukar berdepan United dan kami mahu terus mencatat kemenangan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 12:00 PM