SILVA (dua kanan) menjaringkan gol pembukaan City. FOTO AFP
SILVA (dua kanan) menjaringkan gol pembukaan City. FOTO AFP
AFP

Swindon: Manchester City mengetepikan ketiadaan pengurus, Pep Guardiola dan tujuh pemain utama yang dijangkiti Covid-19 apabila menewaskan pasukan Liga Dua, Swindon 4-1 pada pusingan ketiga Piala FA, hari ini.

Rodolfo Borrell membimbing juara Liga Perdana itu dengan Guardiola serta pembantunya, Juanma Lilo antara 14 kakitangan sokongan yang menerima kesan akibat penularan Covid-19.

"Kami saling berhubung pada separuh masa pertama. Tidak banyak perubahan dilakukan kerana sega-galanya sudah dirancang sebelum ini.

"Dia mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kami semua. Bukan saya sahaja, tetapi kesemua kakitangan," kata Borrell.

City masih mampu membariskan pasukan terkuat apabila hanya melakukan empat pertukaran berbanding ketika menang 2-1 di Arsenal minggu lalu dengan pemain antarabangsa England, Kyle Walker dan kapten perlawanan itu, Ilkay Gundogan adalah antara yang beraksi.

Cole Palmer antara pemain muda yang diberi peluang untuk beraksi melakukan hantaran cantik kepada Bernardo Silva yang menyudahkannya dengan baik minit ke-14.

Swindon menerima padah apabila melakukan kesilapan selepas hantaran ke belakang yang tidak menjadi menyaksikan Gabriel Jesus berjaya menambah jaringan untuk City minit ke-28.

"Kami akan terus berusaha dan memperbaiki prestasi. Perlawanan yang baik tetapi keutamaan kami adalah di Liga Dua," kata pengurus Swindon, Ben Garner.

Gundogan menambah gol ketiga minit ke-59 tetapi Harry McKirdy berjaya merapatkan jurang minit ke-78.

Bagaimanapun Palmer melengkapkan kemenangan bergaya City dengan gol keempat minit ke-82.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 7:31 AM