GUARDIOLA (kanan) sudah pulih daripada Covid-19. FOTO AFP
GUARDIOLA (kanan) sudah pulih daripada Covid-19. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester City menerima suntikan semangat menjelang pertemuan dengan Chelsea esok apabila Pep Guardiola kembali membimbing pasukan selepas kelab itu berdepan penularan Covid-19 minggu lalu.

Guardiola adalah salah seorang daripada 21 anggota dalam pasukan itu yang terpaksa melalui tempoh kuarantin.

Beliau didapati positif Covid-19 beberapa hari sebelum kemenangan ke atas Swindon Town di saingan Piala FA dan kekal tidak dibenarkan turun di padang latihan kelab.

Terbaru, difahamkan Guardiola sudah hadir ke Akademi Bolasepak City hari ini selepas pada mulanya dijangka tidak dapat kembali untuk membimbing pasukan bagi menghadapi Chelsea.

Pengendali berusia 50 tahun itu dijangka akan bersama City untuk menghadapi Chelsea meskipun persediaan pasukannya sudah lengkap tanpa kehadirannya sebelum ini.

Jurulatih pasukan utama, Rodolfo Borrell membimbing pasukan Liga Perdana itu ketika bertemu Swindon selepas ketiadaan Guardiola dan pembantunya, Juanma Lillo.

Guardiola berhubung dengan Borrell menerusi telefon sebelum dan selepas masa rehat pada aksi pusingan ketiga Piala FA itu.

Juara bertahan itu ketika ini selesa dengan kelebihan 10 mata berbanding Chelsea di tangga kedua selepas melakar 11 kemenangan berturut-turut.

Bagaimanapun mereka berdepan penularan Covid-19 minggu lalu apabila 14 kakitangan dan tujuh pemain diarah menjalani tempoh pengasingan diri.

John Stones, Oleksandr Zinchenko, Raheem Sterling, Jack Grealish, Phil Foden dan Fernandinho kesemuanya terlepas untuk beraksi ketika melakar kemenangan ke atas Swindon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 11:53 AM