MUKHAIRI Ajmal kiri) berebut bola dengan pemain Indonesia, Marselino Ferdinan ketika perlawanan penentuan pingat Gangsa Bola Sepak pada Sukan Sea 2021 Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. FOTO Hairul Anuar Rahim
MUKHAIRI Ajmal kiri) berebut bola dengan pemain Indonesia, Marselino Ferdinan ketika perlawanan penentuan pingat Gangsa Bola Sepak pada Sukan Sea 2021 Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Tiada sebarang pingat yang mampu di bawa pulang skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dari bumi Vietnam selepas tumpas kepada Indonesia dalam perlawanan tempat ketiga/keempat melalui penentuan sepakan penalti sebentar tadi.

Selepas terikat 1-1 dalam tempoh 90 minit di Stadium Nasional My Dinh pemenang pingat gangsa Sukan Sea Vietnam terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dan Marc Anthony Klok muncul wira Indonesia selepas menyempurnakan sepakan terakhir untuk mencatat kemenangan 4-3.

Penjaga gol Indonesia, Ernando Ari Sutaryadi juga layak dipuji selepas menyelamatkan sepakan Hadi Fayyadh Abd Razak dan Luqman Hakim Shamsudin.

Aksi separuh masa pertama yang berlangsung dalam hujan renyai bermula dengan kedua-dua pasukan bersemangat untuk mencari gol awal dengan sentiasa berbalas serangan.

Skuad bimbingan Brad Maloney dan Garuda Muda masing-masing mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol termasuk percubaan daripada Safwan Mazlan pada minit kedua di sebelah kiri dalam petak penalti namun rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol Indonesia, Ernando.

Seminit kemudian giliran pasukan bimbingan Shin Tae Yong pula menguji pertahanan negara namun percubaan Ronaldo Joybera dari dalam petak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Indonesia yang tumpas kepada Thailand 0-1 di separuh akhir tidak berputus asa apabila bertali arus melancar serangan sebelum memasuki minit ke-15 dua percubaan dilakukan oleh Saddil Ramdani dan Witan Sulaeman.

Sebelum tamat separuh masa pertama pasukan B-23 negara mempunyai peluang terbaik untuk memecah kebuntuan namun rembatan dari luar petak penalti, Quentin Cheng diselamatkan Ernando, manakala sepakan percuma ketua pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi gagal disambut baik rakan sepasukannya.

Bersambung babak kedua skuad muda negara melakukan tiga pertukaran dengan membawa masuk Luqman Hakim, Hadi Fayyadh dan Hairiey Hakim Mamat.

Tindakan berkenaan menyuntik semangat anak buah Maloney dan hampir memperoleh gol pada minit ke-50 melalui percubaan Azam Azmi Murad namun percubaannya dari dalam petak penalti hanya mengenai jaring.

Syahir Bashah hampir mencetak nama sebagai penjaring gol pada minit ke-65 namun mempersiakan peluang keemasan walapaun hanya berdepan dengan Ernando, seminit berselang rembatan jauhnya pula mengenai palang.

Pada minit ke-68 sedang pasukan B-23 negara rancak menyerang Ronaldo akhirnya berjaya meletakkan Indonesia di depan selepas merembat masuk hantaran ke depan Marselino Ferdinan.

Bagaimanapun, minit ke-81 Hadi Fayyadh berjaya menyamakan kedudukan apabila melepaskan rembatan kencang yang terkena pertahanan Indonesia, Rizky Ridho Ramadhani sebelum ia gagal diselamatkan Ernando.

Akhirnya kedua-dua pasukan buntu mencari gol kemenangan sehingga tamat aksi sebenar sebelum ia ditentukan menerusi penentuan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 7:22 PM