Pemain KL City, Akram Mahinan menjalani latihan persediaan menjelang perlawanan berdepan Selangor. FOTO Ihsan KL City
Pemain KL City, Akram Mahinan menjalani latihan persediaan menjelang perlawanan berdepan Selangor. FOTO Ihsan KL City
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC memiliki formula untuk mengekang pergerakan beberapa pemain utama Kuala Lumpur City FC (KL City) yang dilihat mampu memberi ancaman pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam esok.

Formula itu hadir berdasarkan empat pemain KL City iaitu Romel Morales, Akram Mahinan, Daniel Ting dan beberapa lagi adalah bekas tonggak PKNS FC yang pernah dilatih penolong pengendali Red Giants ketika ini, Muhammad Adam Abdullah.

Jelas pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, beliau yang juga bekas pengurus PKNS FC cukup 'masak' dengan gaya permainan pemain-pemain KL City yang boleh dijadikan strategi untuk menyekat pergerakan mereka.

"Sebenarnya keserasian pemain-pemain KL City sudah dibentuk sejak mereka main di PKNS dulu. Jadi sebab itu apabila mereka bersama KL City, nampak mereka cukup tersusun dan konsisten sepanjang musim ini.

"Sudah tentu saya dan juga jurulatih Adam ada berkongsi maklumat dengan ketua jurulatih pasukan Selangor (Karsten Neitzel). Jadi segala perancangan sudah disusun dan kita harap pemain kita dapat terjemahkannya nanti," katanya kepada Arena Metro.

Aksi 'derby' kedua-dua pasukan ini dijangka sengit dengan rekod pertemuan menyaksikan skuad Merah Kuning menang sebanyak 50 kali daripada 81 aksi antara dua jaguh Lembah Klang itu.

Bagaimanapun, KL City yang dibimbing Bojan Hodak musim ini memperagakan persembahan luar biasa dan dilihat sebagai pasukan 'pembunuh gergasi' dengan beberapa keputusan mengejutkan dilakar ke atas pasukan pilihan.

Malah, rekod tanpa kalah di laman sendiri sepanjang musim ini juga meletakkan skuad The City Boys antara pasukan pilihan untuk melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.

"Sasaran kita malam esok adalah kemenangan bagi memudahkan peluang kita di perlawanan timbal balik nanti. Kalau tengok rekod tahun ini, KL cukup kebal di tempat sendiri dan sebab itu kita kena menang suku akhir pertama ini sebelum bertandang ke Cheras pula nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 10:03 PM