SELANGOR kini berada di tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT). FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
SELANGOR kini berada di tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT). FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur Rekod bersih Sabah FC yang belum tewas di laman sendiri sepanjang musim ini, bakal menjadi azimat buat Selangor FC untuk cuba meraih kemenangan di Stadium Likas, malam esok.

Begitupun bukan mudah untuk membawa pulang tiga mata dan ia disedari pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe yang mahu pemainnya memberi fokus 100 peratus pada aksi itu nanti.

Katanya, kemenangan di Kota Kinabalu itu cukup penting untuk terus mengukuhkan kedudukan skuad Red Giants yang kini berada di tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Satu tugasan yang berat, sudah tentu kalau kita betul-betul sediakan diri dan yakin dengan diri, kita boleh lakar satu keputusan positif," katanya.

Ujar bekas pengendali Harimau Malaya itu lagi, barisan pemain skuad The Rhinos cukup berkaliber dan beliau mahu pemainnya berhati-hati sepanjang 90 minit aksi.

"Sabah ada ramai pemain-pemain berpengalaman…penjaga gol seperti Khairul Fahmi Che Mat yang akan beraksi semula, pertahanan seperti Park (Park Tae-soo) juga dilihat cukup gagah.

"Begitu juga barisan penyerang mereka amat bahaya dari segi situasi bola mati dan dari segi jaringan ledakan jarak jauh, dan kalau kita tengok ada Darren Lok dan Baddrol Bakhtiar juga amat baik, di mana mereka begitu serasi.

"Saddil Ramdani juga amat laju di depan. Apa yang penting kita kena fokus sepanjang perlawanan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 7:13 PM