IRFAN (dua kanan) mahu anak buahnya kekal fokus. FOTO Kuching City FC
IRFAN (dua kanan) mahu anak buahnya kekal fokus. FOTO Kuching City FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Meskipun ketinggalan satu gol secara agregat, Kuching City FC tampaknya masih berkeyakinan mampu menterbalikkan keputusan apabila turun sekali lagi berdepan Sabah FC dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Likas, Jumaat ini.

Keyakinan itu disuarakan jurulatih berpengalaman yang juga pengendali Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim apabila percaya anak didiknya akan mampu melakar kejutan biarpun bakal beraksi di depan ribuan penyokong Sabah.

Katanya, kekalahan 1-0 kepada skuad The Rhinos pada suku akhir pertama di Stadium Negeri Sarawak malam tadi bukanlah penamat buat pasukannya, di mana masih ada lagi 90 minit untuk diharungi di Kota Kinabalu nanti.

Bagi memastikan misi itu berjaya, pemainnya harus mengurangkan segala kesilapan mudah apabila menentang Sabah nanti.

"Di atas persembahan pemain walaupun kita kalah 0-1 di tangan nombor tiga Liga Super, tapi pemain-pemain sudah bagi sumbangan yang terbaik.

"Kita juga mempunyai peluang tetapi kita tidak menukarnya ke bentuk jaringan, jadi kita ada 90 minit lagi di Sabah.

"Saya yakin dengan kudrat pemain-pemain yang begitu bermain bersungguh-sungguh. Kurangkan buat kesilapan, kita boleh mendapatkan gol di sana nanti," katanya selepas berakhirnya aksi suku akhir pertama itu.

Pada aksi yang berlangsung di depan ribuan penyokong Sarawak itu, aksi seimbang di peragakan kedua-dua pasukan dengan saling berbalas serangan.

Namun tuah nyata memihak pelawat apabila tonggak tengah, Baddrol Bakhtiar muncul wira Sabah dengan meledak gol tunggal di minit ke-69 buat memberi kelebihan untuk di bawa pulang ke Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 5:07 PM