SKUAD Helang Merah harus bijak mencari peluang dan mengelak kesilapan mudah bila bertemu PKNS FC, Ahad ini. - Foto AMRAN HAMID
SKUAD Helang Merah harus bijak mencari peluang dan mengelak kesilapan mudah bila bertemu PKNS FC, Ahad ini. - Foto AMRAN HAMID
Izzali Ismail


PENGENDALI Kedah, Ramon Marcote mengidamkan kesebelasan terbaik bagi menghadapi taktikal Datuk K Rajagobal dalam aksi perlawanan Liga Super menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Marcote berkata PKNS FC bukan calang-calang pasukan kerana pengendalinya itu berpengalaman luas selepas membimbing lebih lapan pasukan termasuk skuad kebangsaan sebelum ini.

Menurutnya, Rajagobal pastinya mempunyai perancangan dan corak taktikal yang hebat, selain sudah sebati dengan corak hantaran pendek diamalkan skuad bimbingannya itu.

"Jadi, saya berharap dengan kembalinya beberapa pemain utama selepas pulih dari kecederaan seperti Alvaro Silva dan Liridon Krasniqi (penggantungan satu perlawanan), mampu memperkuatkan pasukan.

"Setiap jurulatih pasti mahukan semua pemain terbaik turun beraksi membentuk formasi dan corak permainan yang diharapkan dalam pasukan. Itulah impian saya mahu melihat kesebelasan Kedah yang lengkap dan mampu mempamerkan aksi terbaik untuk menghadapi pasukan hebat seperti PKNS FC nanti," katanya.

Marcote berkata pada masa sama skuadnya harus bijak mencari peluang dan mengelak kesilapan mudah kerana PKNS FC yang kini berada di singgahsana liga pastinya mahu mengekalkan rentak kemenangan dalam tiga perlawanan awal.

"Kita juga tetap waspada akan kelebihan mereka (PKNS FC) yang dibarisi pemain-pemain tempatan berkebolehan dan berpengalaman dalam liga seperti Safee Sali dan Mahali Jasuli.

"Yang jelas, pertembungan dengan PKNS FC di depan penyokong mereka adalah ujian getir buat kita tetapi saya yakin kita boleh memberi cabaran kepada pasukan tuan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 1:12 PM