REAKSI Ronaldo ketika menentang Man City di Old Trafford.
REAKSI Ronaldo ketika menentang Man City di Old Trafford.
Agensi

London: Pengulas sukan yang juga bekas pemain England, Paul Merson menegaskan kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke Old Trafford telah mengubah corak permainan Manchester United dan mendakwa United bermain lebih baik tanpa bintang Portugal itu.

Walaupun Ronaldo bergelut dengan prestasinya sejak akhir-akhir ini termasuk ketika tewas 0-2 kepada Manchester City, dia masih menjadi penjaring terbanyak kelab dengan sembilan gol, lima gol mengatasi rakan senegara, Bruno Fernandes.

Tetapi Paul Merson berpendapat United tetap beraksi lebih baik tanpa Ronaldo.

Dia berkata: "Saya secara peribadi anggap Man Utd sebuah pasukan bola sepak yang lebih baik tanpa Cristiano Ronaldo.

"Mereka memiliki rekod tanpa kalah yang bagus tahun lalu dengan beraksi cara tertentu - corak serangan balas dan anda tidak dapat mendapatnya dengan Ronaldo. Ia hilang sekarang. Mereka tidak memiliki kepantasan itu lagi.

"Apa gunanya memiliki penyerang yang meledak 20 gol semusim jika anda tidak menang apa-apa? Ia seperti Harry Kane di Spurs. Mempunyai penyerang berbisa tidak menjamin anda menduduki kelompok empat teratas.''

Pada Jumaat lalu, Ole Gunnar Solskjaer berkata dia tidak memahami pandangan orang yang memandang sinis kehadiran semula Ronaldo.

"Dia salah seorang pemain terbaik di planet ini dan ternyata memberi impak di atas mahupun di luar padang.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 4:15 PM