RONALDO sering membarisi kesebelasan utama Man United. FOTO AFP
RONALDO sering membarisi kesebelasan utama Man United. FOTO AFP
Agensi

London: Penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo perlu digugurkan dalam kesebelasan utama, kata Paul Merson yang percaya 'sesuatu tidak kena' di dalam kelab itu.

Ronaldo hadir semula ke Old Trafford dari Juventus pada musim panas lalu dan ketika pemenang Ballon d'Or sebanyak lima kali itu memberi impak positif dengan meledak 14 gol, dia mencetuskan kritikan mengenai sikap dan cara kerjanya.

Bintang berusia 36 tahun itu menjaringkan gol ketika melakar kemenangan 3-1 ke atas Burnley pada perlawanan terakhir tetapi pengkritik di Sky Sports, Merson masih tidak kagum dengan prestasi bekas bintang Real Madrid itu yang dilihat berang ketika memasuki terowong selepas United seri 1-1 dengan Newcastle, minggu lalu.

Ronaldo sering dilihat gagal mengawal emosi jika United meraih keputusan teruk, malah penyokong serta pengkritik menganggapnya tidak boleh dijadikan contoh dan Merson berkata, dia lebih gemar melihat Edinson Cavani beraksi di bahagian serangan.

"Mengenai pasukan Manchester United, saya cukup yakin Cristiano Ronaldo perlu disingkirkan.

"Tetapi ia tidak akan berlaku. Edinson Cavani perlu mendapat semula tempatnya di bahagian serangan bersama-sama Jadon Sancho, Marcus Rashford dan Mason Greenwood bersaing beraksi di bahagian sayap.

"Ada sesuatu yang tidak kena di sana. Saya rasa banyak perkara berlaku di belakang tabir dan ia nampak tidak bagus untuk mereka," katanya.

Merson percaya United akan berdepan kesukaran untuk menduduki kelompok empat terbaik liga dan berkata kelab itu amat bertuah jika dapat beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.

Kelab itu bergelut sehingga menyaksikan Ole Gunnar Solskjaer dipecat selaku pengurus dan digantikan dengan Ralf Rangnick.

United ketika ini menduduki tempat ketujuh, empat mata di belakang Arsenal yang kini menduduki tempat terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 1:10 PM