AKSI  Ronaldo mengambil sepakan percuma ketika menentang Lazio, Ahad lalu. FOTO AFP
AKSI Ronaldo mengambil sepakan percuma ketika menentang Lazio, Ahad lalu. FOTO AFP
Agensi

London: Cristiano Ronaldo mencipta sensasi bersama Juventus sejak menyertai gergasi Serie A itu pada 2018.

Legenda Portugal itu menjaringkan 71 gol daripada 94 perlawanan bersama kelab termasuk enam gol dalam lima aksi musim ini.

Bagaimanapun, akhbar Sepanyol, Sport mendakwa Juventus mahu 'membebaskan' Ronaldo dan mendapatkan semula £100 juta (RM546.535 juta) yang dibayar kepada Real Madrid selain melepaskan bebanan gaji lumayan pemain itu.

Tetapi ke manakah destinasinya selepas ini?

Hanya beberapa kelab mampu mendapatkan Ronaldo. Walaupun berusia 35 tahun, dia pasti meminta gaji sangat lumayan dan berhak menuntutnya.

Salah satu kelab mampu memenuhi permintaannya ialah Manchester City dan pasti ia perpindahan mengejutkan berdasarkan Ronaldo beraksi selama enam tahun bersama musuh utama mereka, Manchester United.

Tetapi bekas pemain Chelsea, Andy Townsend percaya City tidak perlu teragak-agak jika pemain itu mahu dijual.

''Jika anda mahu jaringan, saya fikir dia masih mesin pencetak gol terhebat,'' katanya kepada talkSPORT.

''Saya kenal Messi dan banyak diperdebatkan di antara mereka berdua tetapi saya fikir Ronaldo masih mempunyai keinginan dan diingati sebagai yang terhebat.

''Dia masih bernafsu menggegar gawang lawan tak kiralah daripada sudut mana sekalipun. Pantang mendapat peluang, dia akan memanfaatkannya.

''Dia tangkas di udara dan kita dapat menyaksikannya bersama Juventus. Jika Juve mahu dia keluar dan Man City perlukan gol untuk pasukan, saya fikir mereka tak perlu ragui mendapatkan Cristiano Ronaldo.

''Dia berusia 35 tahun dan saya fikir dia ada 18 bulan lagi. Jika dia datang ke Man City dan dengan cara mereka beraksi, saya fikir dia mampu mendapatkan 25 gol dalam musim pertamanya.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 10:43 AM