PASUKAN PKNS FC  juara Piala Presiden 2019.
PASUKAN PKNS FC juara Piala Presiden 2019.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Buat musim kedua berturut-turut saingan bola sepak peringkat remaja terpaksa dibatalkan ekoran situasi pandemik Covid-19 yang tidak mengizinkan.

Dua pertandingan yang menjadi medan buat 'ubi muda' tempatan mengasah bakat adalah Piala Presiden dan Piala Belia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terbabit dalam penganjuran kedua-dua pertandingan ini.

Malah, ia juga diambil selaras dengan status penganjuran kedua-dua pertandingan itu yang sehingga kini masih belum mendapat 'lampu hijau' daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Biarpun kadar kes baharu Covid-19 di Lembah Klang menunjukkan penurunan, kes-kes baharu di negeri lain dilihat meningkat dan masih tidak menentu, sekali gus dijangka tempoh masa yang lebih lama diperlukan untuk melihat jumlah kes berada pada tahap rendah untuk dibolehkan kedua-dua pertandingan ini berlangsung.

"Selain itu, faktor para pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2021 yang sudah melengkapkan vaksin masing-masing juga pada tahap agak rendah ketika ini yang mana ia akan memberi risiko tinggi terhadap keselamatan dan kesihatan para pemain jika kedua-dua pertandingan ini tetap mahu dilangsungkan pada tahun ini," katanya.

Menurutnya lagi, FAM cukup serius tentang pembangunan akar umbi dalam mencungkil bakat pemain muda namun soal kesihatan dan nyawa pemain adalah lebih utama dan penting ketika ini.

"Di samping itu juga, beberapa perkara penting di dalam penyediaan SOP dilihat masih belum cukup untuk memberi jaminan pada tahap tertinggi dalam segala aspek penganjuran mendorong untuk FAM mengambil keputusan membatalkan kedua-kedua pertandingan ini.

"Ia satu keputusan yang berat tetapi perlu bagi mengelak perkara-perkara tidak diingini berlaku terutamanya dari segi keselamatan dan kesihatan pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 1:58 PM