PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain tetap optimis untuk menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua. FOTO Malik Muhamad
PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain tetap optimis untuk menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Misi Terengganu FC (TFC) untuk menamatkan kedudukan Liga Super di tempat kedua masih berada pada landasan terbaik dan tetap menyala walaupun kini dihimpit tiga lagi pencabarnya selepas tumpas kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) malam tadi.

Malah skuad Penyu yang memburu tiket ke pentas Piala AFC musim depan selepas saingan Kumpulan I kempen piala itu musim ini dibatalkan berpeluang cerah untuk mengekalkan kedudukan kedua liga jika berjaya mengutip mata penuh dalam baki tiga perlawanan lagi.

Bagaimanapun pengendalinya, Nafuzi Zain akui laluan buat skuadnya untuk menamatkan saingan sebagai naib juara liga tetap mencabar kerana bakal bertembung dengan tiga pasukan terbaik liga iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Johor Darul Ta'zim (JDT) dan terakhir menentang Penang FC.

"Kita perlu mendapatkan mata penuh dalam baki tiga perlawanan lagi, namun kita tahu bukan mudah kerana lawan bukan calang-calang pasukan, mereka pasukan terbaik liga selain masing-masing bersaing untuk merebut kelompok teratas liga.

"Tapi kita tetap akan memberikan aksi terbaik dan berusaha sedaya upaya bagi mengekalkan kedudukan kedua liga hingga tamat saingan walaupun keputusan malam ini (malam tadi) mendekatkan lagi mata dengan tiga lagi pencabar," katanya.

TFC kini menghuni di kedudukan kedua liga dengan mengutip 37 mata hasil 19 perlawanan dan diekori rapat Selangor FC dan KDA FC yang berkongsi 32 mata manakala Penang FC kelima dengan 31 mata.

Mengulas perlawanan berkenaan, bekas penyerang Terengganu itu akui secara keseluruhan anak buahnya beraksi dengan baik sehingga berjaya mendominasi permainan bermula babak pertama lagi dengan beberapa percubaan tepat, namun tidak berjaya menembusi gol pelawat.

"Jika kita lihat keseluruhan permainan mereka bermain sebagaimana yang kita rancang, cuma kita tidak dapat menjaringkan gol dengan peluang yang dimiliki.

"Sedikit kesilapan dan kelekaan yang dibuat pemain dihukum pasukan lawan yang kita tahu mempunyai kualiti daripada segi serangan mereka, lagipun lawan bertahan dengan baik sekali gus menyukarkan kita untuk menembusi kubu mereka dengan aksi menarik ditampilkan kedua-dua pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 2:13 PM