PEMAIN KDA FC bakal berdepan cabaran sengit pada aksi menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Sabtu ini. FOTO Ihsan KDA FC
PEMAIN KDA FC bakal berdepan cabaran sengit pada aksi menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Sabtu ini. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak menganggap cabaran sengit bakal dilalui skuadnya apabila bertandang ke pantai timur untuk menentang Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.

Skuad KDA FC yang dijangka bertolak ke Terengganu esok, perlu mengekalkan momentum kecergasan dan prestasi yang diharapkan selepas bangkit meraih tiga mata penuh ketika menentang Penang FC Selasa lalu.

Aidil ketika dihubungi berkata, tidak mudah buat skuadnya untuk bertemu TFC kerana faktor pergerakan jauh dan semestinya kelebihan buat tuan rumah yang memilki cukup waktu rehat.

"Saya juga tidak mahu pemain terlalu tertekan dengan reputasi pihak lawan yang memberi saingan cukup hebat dalam liga dan kini menduduki tangga kedua liga, supaya tidak menjejaskan fokus serta rentak permainan pemain kelak.

"Saya sedar kami akan menerima saingan sengit apabila beraksi di sana nanti, namun saya mahu pemain terus fokus dan beraksi dengan penuh semangat seperti yang dirancangkan.

"Bagaimanapun kami tetap akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan mata penting dan jika menang itu merupakan bonus buat kami," katanya.

Aidil turut meluahkan rasa lega apabila pemain pertahanan tengah, Renan Alves yang tidak dapat beraksi pada perlawanan menentang Penang FC kini bakal kembali memperkuatkan pasukan.

"Alves adalah pemain tonggak utama kami dan kita boleh lihat tanpa aksinya pada perlawanan lalu, kami menghadapi sedikit kesukaran dan kami perlukan dia dari segi fizikal di dalam kotak penalti," katanya.

Kedah yang ketinggalan tiga perlawanan akibat ditunda dan berada di tangga keempat, kini mengumpul 29 mata melalui 15 perlawanan, sementara Terengganu FC kekal di tangga kedua liga dengan 37 mata selepas 18 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 6:02 PM