AKSI Dominic (tengah) mengawal bola ketika menentang TFC. FOTO Ghazali Kori
AKSI Dominic (tengah) mengawal bola ketika menentang TFC. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bek tengah Sabah FC, Dominic Tan tidak rela keciciran mata lagi dalam misi memburu satu slot ke pentas Piala AFC musim depan.

Bekas pemain kelab Police Tero dalam Liga Thailand itu juga meletakkan harapan tinggi mahu menamatkan saingan Liga Super sekurang-kurangnya di tempat ketiga terbaik selepas Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) mengikuti rapat skuad The Rhinos itu dengan masing-masing mengumpul 35 mata manakala Sabah FC 36 mata.

Pemain skuad kebangsaan itu menjelaskan, baki tiga perlawanan lagi menentang Penang FC diikuti Sri Pahang FC dan terakhir menentang juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT), pungutan sembilan mata wajib diperolehi bagi mengelak 'berputih mata' ke pentas Asia.

"Melihat dua pencabar iaitu TFC dan NSFC semakin rapat dengan hanya ketinggalan satu mata berbaki tiga perlawanan lagi, ianya pasti sengit bagi perebutan tiga tempat terbaik, jadi kami tidak boleh keciciran mata lagi walaupun kini menghuni di tangga kedua liga.

"Kehilangan mata bakal menyukarkan lagi untuk memburu sekurang-kurangnya tiga tempat teratas liga untuk layak beraksi di pentas Piala AFC lebih-lebih lagi kita sudah lama menghuni di kedudukan kedua itu.

"Justeru bertemu Penang FC Jumaat ini begitu penting, kita perlu lebih fokus dan kembali bangkit untuk memburu tiga mata walaupun sedar bukan mudah untuk menjinakkan skuad Harimau Kumbang itu.

"Namun beraksi di laman sendiri, peluang itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin selain mengajak peminat setia dapat membanjiri stadium pada aksi terakhir liga di laman sendiri sebelum bertandang ke tempat lawan menentang skuad Tok Gajah dan Harimau Selatan," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan menentang TFC kelmarin yang menyaksikan pasukannya tumpas 0-2.

Perebutan dua slot ke pentas Asia masih terbuka antara Sabah FC, TFC dan NSFC, pasukan yang berada di kedudukan ketiga terbaik layak ke saingan itu selepas JDT sudah mengesahkan tempat lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 3:47 PM