PENGENDALI KDA FC, Aidil Sharin Sahak sudah pasti catur strategi terbaik menentang Melaka United di tempat sendiri. FOTO FB KDA FC
PENGENDALI KDA FC, Aidil Sharin Sahak sudah pasti catur strategi terbaik menentang Melaka United di tempat sendiri. FOTO FB KDA FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dua pasukan utara, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Penang FC memiliki peluang cerah untuk mengisi tempat kedua dan ketiga apabila beraksi dalam perlawanan terakhir Liga Super malam esok.

Ini berikutan kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menerima kunjungan Melaka United (MU) dan Terengganu FC (TFC).

KDA, Penang dan TFC kini terbabit dalam saingan tiga penjuru untuk merebut gelaran naib juara Liga Super musim ini sekali gus meraih tiket ke Piala AFC musim depan. Selain itu, imbuhan RM300,000 selaku naib juara juga pasti pemangkin semangat ketiga-tiga pasukan untuk mempamer aksi terbaik.

Ketika ini, KDA FC memungut 40 mata berkongsi mata dengan Penang manakala TFC pula 37 mata sementara Selangor FC di kedudukan kelima menerusi 36 mata.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, di atas kertas KDA FC boleh dikatakan mempunyai kelebihan kekal di tangga kedua manakala Penang FC yang menerima kunjungan TFC terus berada di tangga ketiga.

"Selangor pula jika mencatat kemenangan tidak membawa sebarang erti kerana hanya melonjak ke tangga keempat liga sekali gus terkeluar daripada senarai 'podium'.

"Saya percaya tempat kedua milik KDA FC. Ini kerana TFC wajib menang ketika menentang Penang FC selain mengharapkan skuad Helang Merah tumpas bertemu Melaka di laman sendiri," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, menurut sumber, wang kemenangan Liga Super kemungkinan akan kekal seperti musim lalu berikutan pandemik Covid-19 ditambah pula kekurangan dana dan hak penajaan.

Katanya, juara Liga Super akan membawa pulang RM500,000 manakala naib juara pula RM300,000 dan tempat ketiga RM100,000.

"Pandemik Covid-19 yang melanda negara kita menyaksikan wang kemenangan pasukan Liga Super boleh diberikan berdasarkan hak penajaan semasa saja. Wang kemenangan mungkin sama seperti musim lalu dan tidak akan lebih berikutan menghadapi beberapa kekangan terutama berkaitan penajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 9:35 PM