KAPTEN Denmark, Simon Kjaer (kiri) tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang penyerang England, Raheem Sterling pada perlawanan separuh akhir Euro 2020 di Wembley, Rabu lalu. FOTO EPA
KAPTEN Denmark, Simon Kjaer (kiri) tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang penyerang England, Raheem Sterling pada perlawanan separuh akhir Euro 2020 di Wembley, Rabu lalu. FOTO EPA
AFP

Paris: Pada ketika Cristiano Ronaldo dan Patrik Schick mendahului carta penjaring terbanyak di Euro 2020, gandingan 10 gol mereka masih ketinggalan berbanding 11 gol sendiri pada edisi Kejuaraan Eropah kali ini.

AFP Sport memilih beberapa gol sendiri menjelang aksi final antara England dan Itali di Wembley, Ahad ini:

* Ketika Turki bersaing hebat dan terikat 0-0 dengan Itali pada perlawanan pembukaan, Merih Demiral tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-53, menyebabkan pasukannya tewas 0-3 di Rome.

* Nasib malang terus menghantui penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny di Euro yang pernah dibuang padang pada perlawanan pembukaan edisi 2012.

Kali ini, bola melantun dari tiang gol terkena lengannya dan masuk ke gawang sendiri menyebabkan Poland tewas 1-2 kepada Slovakia.

* Selepas menyingkirkan Perancis di Piala Dunia 2014, pemain pertahanan Jerman, Mats Hummels menampan bola ke gawang sendiri membolehkan Perancis menang 1-0 di Munich pada aksi pembukaan Kumpulan F.

* Nasib malang menimpa penjaga gol Slovakia, Martin Dubravka. Pada mulanya, dia berjaya menyelamatkan sepakan penalti penyerang Sepanyol, Alvaro Morata.

Bagaimanapun, dia kemudian menumbuk bola ke dalam gawang sendiri menyebabkan Sepanyol membelasah Slovakia 5-0 pada 24 Jun termasuk satu gol sendiri pemain pertahanan, Juraj Kucka.

* Jarang berlaku gol sendiri dijaringkan dari luar kotak penalti. Tetapi tolakan ke belakang pemain tengah Sepanyol, Pedro gagal dibaca penjaga gol, Unai Simon menyebabkan bola menggolek ke gawang mereka dari jarak 45 meter.

Sepanyol bernasib baik menewaskan Croatia 5-3 di pusingan kedua.

* Dianggap wira dalam menangani insiden Christian Eriksen mengalami serangan jantung, kapten Denmark, Simon Kjaer menjaringkan gol sendiri di separuh akhir menentang England sekali gus mengakhiri kisah dongeng pasukan itu.

Dalam usaha menghalang bola hantaran Bukayo Saka daripada disambar Raheem Sterling, Kjaer tertampan bola ke gawang sendiri sebelum pasukannya kecundang 1-2 di separuh akhir pada masa tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 9:23 PM