REAKSI Lewandowski selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
REAKSI Lewandowski selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Saint Petersburg: Bintang Poland Robert Lewandowski berkata, pasukannya berdepan tugas sukar untuk layak ke peringkat 16 terakhir Euro 2020 selepas tewas 1-2 kepada Slovakia dalam aksi pembukaan awal pagi tadi.

Penyerang Bayern Munich itu dikawal ketat pertahanan Slovakia diketuai Milan Skriniar, pertahanan tengah Inter Milan yang meledak gol kemenangan di Saint Petersburg.

"Ia memalukan kami gagal sekurang-kurangnya mendapat keputusan seri," kata Lewandowski kepada wartawan.

"Kami tidak cukup bagus di bahagian pertahanan. Kesilapan ini tidak boleh dimaafkan di Kejohanan Eropah."

Poland tampil kali keempat berturut-turut di kejohanan itu. Mereka mara ke suku akhir 2016 sebelum tewas kepada juara, Portugal menerusi penentuan penalti.

Skuad Paulo Sousa akan berkunjung ke Seville untuk menentang Sepanyol pada Sabtu ini dalam aksi Kumpulan E sebelum kembali ke Saint Petersburg untuk berdepan Sweden pada 23 Jun.

"Kami ada dua perlawanan lagi. Situasi kini tampak lebih sukar. Kami sepatutnya menewaskan pasukan yang secara teorinya dianggap pasukan paling lemah,'' kata Lewandowski yang hanya meledak dua gol dalam 12 perlawanan di kejohanan utama.

"Saya berharap kami lebih baik ketika menentang Sepanyol tetapi kami sedar lawan selepas ini jauh lebih baik. Kami perlu kekal yakin dan apa sahaja boleh berlaku di kejohanan seperti Euro,'' katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:37 AM