PENYERANG Sepanyol, Alvaro Morata bermain dengan anaknya selepas pasukannya membelasah Slovakia 5-0 pada aksi Kumpulan E Euro 2020, Rabu lalu.
PENYERANG Sepanyol, Alvaro Morata bermain dengan anaknya selepas pasukannya membelasah Slovakia 5-0 pada aksi Kumpulan E Euro 2020, Rabu lalu.
AFP

Madrid: Alvaro Morata berkata, isteri dan anaknya dihina serta diugut sepanjang Euro 2020 berikutan prestasinya bersama skuad Sepanyol.

Morata mengharungi kejohanan yang sukar apabila terlepas beberapa peluang menjaringkan gol termasuk gagal menyempurnakan sepakan penalti pada aksi terakhir Kumpulan E dengan Slovakia di Seville, Rabu lalu.

"Saya faham apabila dikritik kerana tidak menjaringkan gol. Saya tahu hal itu dan sedia menerimanya," kata Morata kepada Cadena COPE, semalam.

"Tetapi, saya harap orang ramai faham dan meletakkan diri dalam posisi apabila penghinaan dan ancaman ditujukan kepada ahli keluarga anda.

"Ada orang kata 'Saya harap anak awak mati'. Saya terpaksa meletak telefon jauh jauh.

"Anak saya ke Seville dengan nama mereka pada jersi mereka. Saya faham kritikan kerana tidak melakukan tugas dengan sempurna. Tetapi, sudah pasti ada hadnya."

Morata berkata, dia tidak mampu tidur selama sembilan jam selepas seri 1-1 dengan Poland apabila dia terlepas peluang menjaringkan gol pembukaan Sepanyol.

Sepakan penalti penyerang berusia 28 tahun itu kemudian diselamatkan penjaga gol Slovakia ketika kedudukan terikat 0-0. sebelum Sepanyol akhirnya menang 5-0 dan layak ke pusingan kedua untuk bertemu Croatia, Isnin ini.

"Saya rasa bangga apabila mengutip bola untuk mengambil sepakan penalti, selepas penyokong mengutuk saya ketika memanaskan badan," kata Morata.

"Beberapa tahun lalu, saya mungkin mengalah, tetapi sekarang saya penuh motivasi dan keinginan. Orang yang berfikir sebaliknya memang tidak kenal saya."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 10:44 PM