PEMAIN Sepanyol meraikan kemaraan ke separuh akhir Euro 2020 selepas menewaskan Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti, hari ini. FOTO EPA.
PEMAIN Sepanyol meraikan kemaraan ke separuh akhir Euro 2020 selepas menewaskan Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti, hari ini. FOTO EPA.
AFP

Saint Petersburg: Penjaga gol, Unai Simon muncul wira Sepanyol mengatasi Switzerland yang beraksi dengan 10 pemain, 3-1 menerusi penentuan penalti, untuk mara ke separuh akhir Euro 2020, hari ini.

Selepas seri 1-1 di Saint Petersburg yang menyaksikan Switzerland bermain dengan 10 pemain selama 43 minit, Simon menyelamatkan dua sepakan penalti pada ketika Sepanyol memburu gelaran keempat Eropah.

Ia jelas kekecewaan buat Switzerland yang dalam usaha melangkah buat kali pertama ke separuh akhir kejohanan utama dalam sejarah bola sepak mereka.

Denis Zakaria tertampan bola ke gawang sendiri pada minit kelapan membolehkan Sepanyol mendahului, namun kapten Switzerland, Xherdan Shaqiri menyamakan kedudukan pada minit ke-68.

Bagaimanapun, Remo Freuler dibuang padang pada minit ke-77 menyebabkan Switzerland beraksi dengan 10 pemain dan perlawanan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Penjaga gol Switzerland, Yann Sommer, yang menjadi hero ketika penentuan penalti dengan Perancis di pusingan kedua, turut menyelamatkan beberapa percubaan lawan.

Bagaimanapun, Simon menyelamatkan sepakan penalti Fabian Schaer dan Manuel Akanji, manakala Ruben Vargas merembat tinggi.

Ia memudahkan Mikel Oyarzabal menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan kemaraan Sepanyol.

Barisan pemain Luis Enrique akan bertemu pemenang perlawanan Belgium dan Italy di separuh akhir di Wembley, Selasa ini.

Selepas menjaringkan 10 gol dalam dua perlawanan terakhir, prestasi Sepanyol kembali menurun sama seperti ketika seri dua perlawanan awal kumpulan menentang Sweden dan Poland.

Tetapi, juara Eropah pada 2008 dan 2012 itu memulakan aksi separuh akhir dengan nasib baik pada minit kelapan apabila rembatan Jordi Alba terkena Zakaria dan membias melepasi Sommer.

Ia adalah gol sendiri ke-10 di Euro 2020, iaitu paling banyak berbanding 15 edisi terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 3:00 AM