JURULATIH Denmark, Kasper Hjulmand (dua dari kiri) memberi arahan kepada pemainnya ketika aksi separuh akhir menentang England di Wembley. FOTO AFP
JURULATIH Denmark, Kasper Hjulmand (dua dari kiri) memberi arahan kepada pemainnya ketika aksi separuh akhir menentang England di Wembley. FOTO AFP
AFP

London: Perjalanan Denmark ke separuh akhir Euro 2020 lebih kepada kisah dongeng negara dengan lima juta penduduk itu selepas permulaan tragis mereka di kejohanan ini.

Pada hujung minggu pembukaan Euro 2020, pemain bintang negara itu selama lebih sedekad, Christian Eriksen, tumbang di padang akibat serangan jantung ketika menentang Finland.

Pada ketika rakan sepasukan lain membuat bulatan melindungi pemain tengah Inter Milan itu daripada lensa kamera, kapten, Simon Kjaer dan penjaga gol, Kasper Schmeichel menenangkan pasangannya di tepi padang.

Terima kasih kepada pasukan perubatan yang bertindak pantas dan nyawa Eriksen diselamatkan dengan bantuan alat defibrilator dan mampu meninggalkan hospital selepas dirawat kurang enam hari.

Lebih tiga minggu selepas insiden itu, Denmark masih di landasan mengulangi kejutan di Euro 92, apabila mereka yang tidak layak muncul juara selepas dipilih saat akhir menggantikan Yugoslavia.

Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah. England yang dibantu sorakan 65,000 penyokong di Wembley, mengesahkan tempat ke final Kejuaraan Eropah buat kali pertama dengan kemenangan kontroversi 2-1 di masa tambahan, semalam.

Gol kemenangan England terhasil menerusi sepakan penalti meragukan selepas Joakim Maehle mencabar Raheem Sterling.

Schmeichel – hero di dalam dan luar padang buat Denmark – pada mulanya menepis sepakan penalti Harry Kane, tetapi kapten England itu pantas membuat sepakan susulan untuk menggamatkan stadium.

"Kalah dalam perlawanan adalah perkara lain, tetapi kalah dengan cara ini memang sangat mengecewakan kerana pemain berjuang habis-habisan," kata jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand.

"Ia adalah cara yang pahit untuk meninggalkan sesuatu kejohanan."

Walaupun berkesudahan begitu, Denmark menamatkan pengembaraan beremosi itu dengan kebanggaan apabila bermain bola sepak dengan penuh keazaman, keberanian dan semangat melawan.

Tewas dua perlawanan awal, mereka bangkit membelasah Russia dan Wales dengan empat gol, sebelum mengetepikan Republik Czech di suku akhir.

Tetapi, perjalanan lebih 9,000 kilometer ke Azerbaijan dan desakan fizikal dan mental sejak sebulan lalu jelas memberi kesan terhadap anak buah Hjulmand.

Selepas mendahului 1-0 menerusi sepakan percuma cantik Mikkel Damsgaard di Wembley, gol sendiri Kjaer menyebabkan mereka berhempas pulas menahan asakan England.

"Saya tidak dapat menjelaskan dengan kata-kata mengenai kekaguman pasukan teknikal di belakang pemain ini. Banyak yang mereka lalui.

"Dua daripada mereka menyelamatkan nyawa salah seorang pemain terbaik kami," kata Hjulmand, mengimbas perjalanan pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 11:21 PM