PERJUANGAN Denmark di Euro 2020 terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada England. FOTO AFP
PERJUANGAN Denmark di Euro 2020 terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada England. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Kapten Denmark, Simon Kjaer meluahkan rasa kecewa apabila perjalanan yang tidak boleh di lupakan di Euro 2020 terhenti di separuh akhir selepas tewas 1-2 kepada England.

"Ini satu pengembaraan yang hebat. Saya minta maaf kerana ia sudah selesai tapi itulah kenyataannya," kata Kjaer.

"Sokongan yang kami terima lebih daripada apa yang kami harapkan. Saya bangga tapi dalam masa yang sama kecewa kerana kami tidak mara ke final.

Denmark mendahului di Wembley hasil dari sepakan percuma yang mengagumkan dari Mikkel Damsgaard namun Kjaer menjaringkan gol sendiri sebelum Harry Kane meledakkan gol kemenangan pada waktu tambahan.

"Kami bermain dengan baik dalam perlawanan ini. Jika kami lebih tajam pada waktu-waktu tertentu pada separuh masa pertama kami boleh menjaringkan satu lagi gol," kata Kjaer.

Kekalahan itu menandakan berakhirnya perjalanan Denmark yang sebelum ini trauma dengan kejadian menimpa Christian Eriksen yang mengalami serangan jantung ketika perlawanan pembukaan.

Pasukan Denmark itu tewas dua perlawanan peringkat kumpulan namun bangkit semula menewaskan Russia untuk mara ke pusingan kalah mati dan mengembalikan harapan mereka mengulangi kejuaraan pada Euro 92.

"Saya hilang kata-kata," kata pemain tengah Pierre-Emile Hojbjerg.

"Ia satu yang sukar untuk dicakapkan. Saya bangga dengan pasukan ini dan mereka semua yang terbabit sama dalam pengembaraan ini. Ia satu yang menyeronokkan.

"Sungguh luar biasa untuk melangkah sejauh ini tapi ia sangat menggembirakan dapat bersaing dengan semua orang di sini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 7:54 AM