IVAN Toney (dua kanan) ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
IVAN Toney (dua kanan) ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Blankenhain: Penyerang England, Ivan Toney berkata The Three Lions mesti merebut peluang kedua yang diberikan kepada mereka di Euro 2024 selepas kebangkitan luar biasa di saat akhir menentang Slovakia untuk mara ke suku akhir.

Sepakan gunting Jude Bellingham lima minit menuju ke masa kecederaan menghalang skuad bimbingan Gareth Southgate daripada tersingkir pada pusingan kedua.

Toney, dalam penampilan pertamanya sebagai pemain gantian, menghantar bola cantik kepada Harry Kane, yang menjaringkan gol kemenangan untuk mengatur pertemuan dengan Switzerland di suku akhir, Ahad ini.

"Saya rasa ia membuka mata, anda boleh pulang pada bila-bila masa," kata Toney dalam sidang media.

"Kelegaan selepas itu di bilik persalinan adalah seperti 'sekarang, kawan-kawan, sudah tiba masanya untuk terus maju'.

"Saya rasa kami mempunyai watak dan kualiti pemain di bilik persalinan untuk melakukannya," katanya lagi.

England tiba di Jerman sebagai salah satu pasukan pilihan untuk kejohanan kali ini selepas dibarisi pemain bersatus bintang seperti penjaring terbanyak Bundesliga, Kane; bintang Real Madrid, Bellingham, dan Phil Foden, yang memenangi anugerah pemain terbaik Liga Perdana musim lalu.

Namun, mereka adalah salah satu daripada beberapa pasukan termasuk Perancis dan Portugal, yang mara ke suku akhir walaupun dengan prestasi kurang memuaskan.

"Jika kami menang 2-0, orang akan berkata kami sepatutnya menang 3-0, 4-0, tetapi ia selalu berlaku. Kami tinggal dua perlawanan untuk mara ke perlawanan akhir dan kami hanya perlu melakukan apa yang kami mampu untuk mencapainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 1:21 AM