PEMAIN Sepanyol meraikan kemenangan 5-0 ke atas Slovakia di Seville, sekali gus layak ke pusingan kalah mati, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN Sepanyol meraikan kemenangan 5-0 ke atas Slovakia di Seville, sekali gus layak ke pusingan kalah mati, hari ini. FOTO AFP
AFP

Seville: Sepanyol melupakan permulaan hambar Euro 2020 apabila membelasah Slovakia, 5-0, hari ini, sekali gus mara ke pusingan kalah mati selaku naib juara Kumpulan E dan akan bertemu Croatia, Isnin ini.

Luis Enrique menyifatkan pasukannya menunggu masa untuk meledak dan mereka membuktikannya dengan kemenangan besar itu, selepas seri dalam dua aksi awal kumpulan.

Malah, Sepanyol hampir layak selaku juara kumpulan sehinggalah Viktor Claesson menjaringkan gol kemenangan Sweden 3-2 ke atas Poland, untuk muncul juara kumpulan itu.

Poland tersingkir bersama Slovakia yang menduduki tempat ketiga.

Selepas seri dengan Sweden dan Poland, Sepanyol berdepan kemungkinan tersingkir dan Luis Enrique mengakui tidak kisah dengan kedudukan dalam kumpulan asalkan mereka dapat mara ke pusingan kalah mati.

Namun, Sepanyol mengamuk di La Cartuja, walaupun kecewa pada peringkat awal apabila Alvaro Morata gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Mereka kemudian menjaringkan dua gol hasil kesilapan penjaga gol Slovakia, Martin Dubravka yang tertampan bola ke gawang sendiri dan menjadi antara detik ganjil dalam kejohanan ini.

Dia sekali lagi melakukan kesilapan membolehkan Aymeric Laporte menanduk masuk gol untuk Sepanyol mendahului 2-0 sehingga rehat.

Sebaik babak kedua bermula, Sepanyol meneruskan penguasaan menerusi jaringan Pablo Sarabia, Ferran Torres dan satu lagi gol sendiri oleh Juraj Kucka.

Mereka berhak meraikan kemenangan besar itu, walaupun Croatia dan Luka Modric akan memberikan cabaran lebih sengit di peringkat kalah mati, Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 2:19 AM