SHEVCHENKO meraikan kejayaan Ukraine bersama penjaga gol,  Georgiy Bushchan. FOTO AFP
SHEVCHENKO meraikan kejayaan Ukraine bersama penjaga gol, Georgiy Bushchan. FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Ukraine Andriy Shevchenko berkata pasukannya tidak gentar dengan kemampuan England menewaskan Jerman 2-0 pada pusingan kedua Euro 2020 tetapi bertekad mencipta kejutan apabila kedua-dua pasukan bertembung di Rom Ahad ini.

Ukraine mara ke suku akhir apabila mengatasi cabaran Sweden 2-1 dalam masa tambahan menerusi jaringan Artem Dovbyk selepas England menyingkirkan Jerman hasil ledakan Raheem Sterling dan Harry Kane pada babak kedua.

''England pasukan hebat, miliki pemain berkualiti, jurulatih yang bagus dan kami sedar betapa sukar perlawanan ini,'' kata Shevchenko kepada media.

''Saya menonton semua perlawanan mereka tetapi bukan aksi hari ini ketika mereka tewaskan Jerman kerana kami persiap diri menentang Sweden.

''Mereka sukar ditembusi tetapi kekuatan mereka tidak menakutkan kami. Sebaliknya menjadi motivasi kepada kami kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kami akan bermain sepenuh hati untuk menceriakan penyokong.''

England belum lagi dibolosi setakat ini selepas menewaskan Croatia dan Republik Czech 1-0 serta seri dengan Scotland 0-0.

Pemain terbaik perlawanan Oleksandr Zinchenko yang meledak gol pertama Ukraine dan membantu satu lagi jaringan ketika menentang Sweden mengagumi prestasi Sterling yang juga rakan sepasukannya di Manchester City.

''Sterling salah seorang pemain sayap terbaik dunia dan menjadikan England berbeza. Pertahanan kami perlu berada pada tahap terbaik kerana dia memang berbahaya depan gawang.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 9:59 AM