JURULATIH Ukraine, Andriy Shevchenko meraikan kejayaannya mara ke suku akhir Euro 2020 selepas menewaskan Sweden 2-1 di masa tambahan. FOTO AFP
JURULATIH Ukraine, Andriy Shevchenko meraikan kejayaannya mara ke suku akhir Euro 2020 selepas menewaskan Sweden 2-1 di masa tambahan. FOTO AFP
AFP

Rome: Keseronokan melonjak di England selepas menewaskan Jerman di pusingan kedua Euro 2020 yang secara teorinya meletakkan mereka sebagai pilihan mara ke final dan menang piala pertama kejohanan utama sejak Piala Dunia 1966.

Bagaimanapun, Ukraine, yang menanti mereka di suku akhir, esok, berharap melakukan kejutan dan mara kali pertama ke separuh akhir kejohanan utama sejak berpisah dengan Soviet Union.

Beberapa bintang Ukraine yang mampu mengejutkan England termasuk jurulatihnya, Andriy Shevchenko, bekas pemenang anugerah Ballon d'Or dan penjaring terbanyak dalam sejarah Ukraine.

Dia adalah kapten skuad Ukraine yang melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2006 sebelum tewas kepada Itali dan kini membimbing pasukan yang layak ke pusingan kedua dengan hanya mengatasi Macedonia Utara di peringkat kumpulan sebelum menewaskan Sweden pada masa tambahan di pusingan kedua.

Shevchenko, 44, mengemudi pasukan pada 2016 dan memperoleh keputusan memberangsangkan dan prestasi anak buahnya tidak boleh dijangkakan.

Mereka menjuarai kumpulan kelayakan mengatasi Portugal dan menewaskan Sepanyol di Liga Negara pada Oktober lalu. Mereka turut seri dengan Perancis di pusingan kelayakan Piala Dunia, Mac lalu.

Oleksandr Zinchenko beraksi sebagai bek kiri bersama Pep Guardiola di Manchester City, tetapi menjadi pemain tengah untuk negaranya yang membolehkan dia menjaringkan gol pembukaan menentang Sweden Glasgow sebelum mengumpan untuk gol kemenangan jaringan Artem Dovbyk.

Zinchenko adalah bintang utama Shevchenko kerana jarang pemain negara itu bermain di lima liga utama Eropah.

Bekas kapten skuad remaja Shakhtar Donetsk itu tidak pernah bermain untuk pasukan senior kebangsaan ketika dia dan keluarganya berpindah ke Russia kerana konflik lama.

Dia bermain untuk Ufa, 1,400 kilometer di utara Moscow. Selepas bersama Ukraine di Euro 2016 ketika remaja, dia berpindah ke City.

Kelibat kapten Ukraine, Andriy Yarmolenko memang dikenali peminat Liga Perdana Inggeris kerana menyertai West Ham United sejak 2018.

Pemain sayap kanan berusia 31 tahun itu gemar menyusup masuk sebelum merembat dengan kaki kiri termasuk gol menarik ketika tewas 2-3 di tangan Belanda dan menjaringkan gol pembukaan ketika menang 2-1 ke atas Macedonia Utara.

Dilahirkan di Russia, Yarmolenko mencipta nama dengan Dynamo Kiev dan beraksi selama sedekad sebelum berhijrah selama semusim ke Borussia Dortmund.

Roman Yaremchuck adalah pemain tengah menyerang yang menjaringkan gol penyamaan ketika tewas 2-3 kepada Belanda dan gagal menyempurnakan sepakan penalti menentang Macedonia Utara.

Direhatkan ketika menentang Sweden, tetapi dia mampu mencipta keajaiban apabila diturunkan dalam kesebelasan utama.

Ruslan Malinovskyi pula menjadi pemain bintang di Atalanta ketika menduduki tempat ketiga Serie A selama dua musim di Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 1:11 AM