AKSI Verratti (kiri) ketika bertemu Wales. FOTo EPA
AKSI Verratti (kiri) ketika bertemu Wales. FOTo EPA
AFP

Milan: Kepulangan semula Marco Verratti daripada kecederaan memberi tonik tambahan kepada Itali yang dilabel antara pasukan pilihan memenangi Euro 2020.

Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG) itu kembali selepas enam minggu diketepikan akibat kecederaan lutut untuk membantu Azzurri mencipta kemenangan ketiga dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan berdepan Wales hujung minggu lalu.

Aksi seterusnya untuk Itali adalah bertemu Austria pada pusingan kedua di Wembley awal pagi Ahad.

Sepakan percuma Verratti, yang dikenali sebagai 'burung hantu kecil', membantu Matteo Pessina mendapatkan gol tunggal perlawanan berdepan Wales.

Pemain berusia 28 tahun itu menggalas tugas kapten selepas pemain pertahanan, Leonardo Bonucci dikeluarkan pada separuh masa kedua manakala Giorgio Chiellini yang sering menggalas tugas itu tidak beraksi kerana kecederaan.

Pengendali Itali, Roberto Mancini memeluk Verratti ketika meninggalkan padang di Stadio Olimpico selepas melepasi jangkaan dengan bermain keseluruhan perlawanan bersama pemain tengah, Jorginho.

"Verratti membuktikan bahawa semua pemain boleh membarisi kesebelasan utama," kata Mancini yang meletakkan pemain tengah, Manuel Locatelli di bangku simpanan untuk memberi peluang kepada Veratti.

Verratti dan Jorginho adalah pilihan utama Mancini di bahagian tengah dan dengan memiliki pasangan itu, ia menambah semangat Itali untuk merangkul kejuaraan yang pernah sekali dimenangi mereka pada 1968.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 12:00 PM