QUAGLIARELLA meraikan jaringan ketika membelasah Liechtenstein. - FOTO Agensi
QUAGLIARELLA meraikan jaringan ketika membelasah Liechtenstein. - FOTO Agensi
AFP

FABIO Quagliarella berusia 36 tahun muncul pemain Itali tertua menjaringkan gol selepas menyempurnakan dua penalti ketika membelasah Liechtenstein 6-0 di Stadium Ennio Tardini dalam aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

Itali mengetuai Kumpulan J dengan enam mata selepas menewaskan Finland 2-0 di Udien pada Sabtu lalu menerusi jaringan Nicolo Barella dan Moise Kean.

Bosnia mempersiakan kelebihan dua gol apabila diikat Greece 2-2 dan kedua-duanya di belakang Itali dengan empat mata diikuti Finland tiga.

"Misi selesai," kata jurulatih Roberto Mancini. "Keputusan jelas dan sudah dijangka tetapi paling penting kami menjaringkan lebih gol.”

Penjaring terbanyak Serie A, Quagliarella menjaringkan penalti pada minit ke-35 diikuti satu lagi sejurus sebelum rehat.

Pemain Sampdoria itu muncul pemain paling tua menjaringkan gol untuk Itali pada usia 36 tahun dan 54 hari mengatasi rekod Christian Panucci yang berusia 35 tahun pada 2008.

Stefano Sensi membuka tirai jaringan Itali pada minit ke-17 dan Marco Verratti menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-32.

Kean, 19, menjaringkan gol kedua antarabangsanya pada minit ke-69 sebelum Leonardo Pavoletti, 30, yang masuk menggantikan Quagliarella menembusi gawang pelawat enam minit kemudian.

Mancini melakukan tujuh pertukaran dalam kesebelasan yang menewaskan Finland dengan pertahanan Cristiano Piccini dan penyerang Stephan El Shaarawy mengalami kecederaan.

Sensi dan Quagliarella mengambil tempat Barella dan Ciro Immobile di samping Kean yang beraksi buat kali kedua untuk Itali.

Quagliarella kembali menyarung jersi Azzurri selepas sembilan tahun hasil 21 jaringannya dalam 28 aksi liga, dua gol mengatasi bintang Portugal, Cristiano Ronaldo di Juventus.

Penyerang veteran itu hampir menjaringkan gol pada awal babak perlawanan sebelum hantaran lambung Leonardo Spinazzola ditanduk masuk Senzi pada minit ke-17.

Verratti bijak melepasi kawalan pertahanan lawan pada minit ke-32 dan melakukan rembatan lencung pada minit ke-2.

Itali mendapat penalti selepas bola terkena tangan Nicolas Hasler dan Quagliarella tidak melakukan kesilapan.

Quagliarella menyempurnakan penalti keduanya pada minikt ke-43 selepas bola terkena tangan pertahanan lawan, Daniel Kaufmann yang dilayangkan kad merah.

Quagliarella kemudiannya dikeluarkan dan digantikan Pavoletti dengan pemain veteran itu menerima tepukan bergemuruh daripada penyokong.

Empat minit kemudian penyerang Cagliari itu melengkapkan pesta gol Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 7:57 AM