PEMAIN Itali berlatih menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Wales, esok. FOTO EPA
PEMAIN Itali berlatih menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Wales, esok. FOTO EPA
AFP

Rome: Pemain tengah, Marco Verratt yang baru pulih daripada kecederaan dijangka diturunkan apabila jurulatih Itali, Roberto Mancini membuat rombakan pada perlawanan terakhir menentang Wales di Rome, esok.

Verratti terlepas dua perlawanan awal Kumpulan A yang menyaksikan mereka menang 3-0 ke atas Turki dan Switzerland, berikutan cedera lutut ketika bermain untuk Paris Saint-Germain, bulan lalu.

"Saya fikir Marco perlu bermain, dia berlatih dengan pasukan sejak beberapa hari lalu dan dalam keadaan baik," kata Mancini pada sidang media.

"Kami akan lihat bagaimana dia berada di atas padang, sekurang-kurangnya hingga akhir babak pertama."

Sepanjang ketiadaan Verratti, pemain tengah, Manuel Locatelli terus menyinar.

Pemain sayap Juventus, Federico Chiesa turut dijangka membuat penampilan sulung di Euro 2020.

"Esok kami akan membuat beberapa perubahan," kata Mancini.

"Kami akan membuat perkara sama walaupun pada perlawanan terpenting kerana ini adalah aksi ketiga dalam 10 hari, bermain pada 6 petang dengan suhu 32 darjah Selsius yang memerlukan pemain segar."

Itali sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati dan perlawanan esok akan menentukan sama ada mereka menduduki tangga teratas atau kedua kumpulan.

Wales perlu seri untuk layak ke pusingan berikutnya dan jika menang, mereka menduduki tangga teratas kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 2:53 AM