PEMAIN tengah Itali, Jorginho menanduk bola ketika pasukannya menewaskan Turki 3-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A, Jumaat lalu.
PEMAIN tengah Itali, Jorginho menanduk bola ketika pasukannya menewaskan Turki 3-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A, Jumaat lalu.
AFP

Rome: Pemain tengah Itali, Jorginho hari ini merasakan keinginan skuad kebangsaan pada kempen Euro 2020 itu sama seperti Chelsea yang memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah, baru-baru ini.

Itali mendahului Kumpulan A selepas menang 3-0 ke atas Turki dan akan menentang Switzerland pada Rabu sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan bertemu Wales pada Sabtu.

"Pasukan ini menyerupai Chelsea, memang menarik, mereka dahagakan kemenangan dan mahu membuktikan sesuatu tidak kiralah pemain paling muda hingga paling berpengalaman," kata bekas pemain Napoli itu pada sidang media.

"Kami mempelajari falsafah (jurulatih Roberto) Mancini dan apa dimahukannya ada dalam kepala kami.

"Saya masih memiliki keinginan tinggi untuk menang. Saya tidak mahu berhenti sekarang. Saya mahu mengalami emosi sama dengan pasukan kebangsaan."

Jorginho yang menjaringkan lima gol dalam 29 penampilan untuk Itali sejak 2016, turut membandingkan pemain tengah Itali, Nicolo Barella dan bintang Chelsea, N'Golo Kante.

"Karektor mereka hampir sama," kata pemain berusia 29 tahun itu.

"Fizikal mereka kuat, mereka berlari sepanjang 90 minit dan menguasai seluruh padang. Mereka membantu saya untuk merampas dan menguasai bola di bahagian tengah.

"Ramai pemain hebat dengan personaliti menarik dalam pasukan ini."

Itali yang memenangi Piala Dunia empat kali sedang memburu gelaran kedua Kejohanan Eropah selepas kemenangan tunggal pada 1968.

Sementara itu, pemain tengah Itali, Marco Verratti semakin hampir mencapai kecergasan selepas mengalami kecederaan lutut dan terlepas perlawanan pembukaan.

Pemain Paris Saint-Germain berusia 28 tahun itu hanya menyaksikan pasukannya menang 3-0 ke atas Turki pada Jumaat lalu, tetapi kembali berlatih pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 12:23 AM