SOUTHGATE (kiri) mengeluarkan Kane (dua kiri). FOTO AFP
SOUTHGATE (kiri) mengeluarkan Kane (dua kiri). FOTO AFP
AFP

London: Pengurus England, Gareth Southgate bertanggungjawab atas kegagalan barisan pemainnya untuk menewaskan Scotland pada aksi di Wembley hari ini yang berkesudahan kedua-dua pasukan seri 0-0.

England masih di landasan tepat untuk mara ke pusingan 16 terakhir Euro 2020 namun perlu mempamerkan peningkatan prestasi selepas dilabel antara pasukan pilihan pada edisi kali ini.

"Saya rasa ia malam yang mengecewakan. Kami tahu kami boleh beraksi dengan lebih baik," kata Southgate kepada ITV.

"Seluruh pasukan kini perlu melihat kepada diri sendiri, bermula dengan saya. Kami perlu mempamerkan aksi lebih baik.

"Kami masih belum mempamerkan aksi sepatutnya untuk meraih kemenangan. Tidak banyak cubaan untuk menjaringkan gol. Kami perlu melihatnya semula."

Southgate melakukan tindakan beraksi dengan menggantikan kapten, Harry Kane ketika berbaki 15 minit permainan dalam usaha England untuk melakar kemenangan.

Penggantinya, Marcus Rashford bagaimanapun bergelut untuk memberikan impak sekali gus menyaksikan Scotland berjaya meraih satu mata berharga di kejohanan utama selepas 25 tahun.

"Saya mengharapkan Rashford dapat memberikan tenaga tambahan. Kami perlu membuat keputusan berdasarkan kepada apa yang kami nampak," kata Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 6:31 AM