PEMAIN England, Dominic Solanke berlanggar dengan penjaga gol Brazil. FOTO/REUTERS
PEMAIN England, Dominic Solanke berlanggar dengan penjaga gol Brazil. FOTO/REUTERS
AFP

LONDON: Brazil yang menyenarai barisan terkuat termasuk Neymar dipalit kecewa apabila diikat 0-0, bertemu England yang tampil penuh bersemangat dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley, pagi tadi.

Jurulatih Brazil, Tite berupaya menurunkan pilihan utamanya dalam kesebelasan utama, namun di sebalik kelibat Neymar, Gabriel Jesus dan Philippe Coutinho, mereka hanya berupaya menguji penjaga gol England, Joe Hart sebanyak tiga kali.

Pengendali England, Gareth Southgate yang sekali lagi turun tanpa khidmat peledak, Harry Kane, Dele Alli dan Raheem Sterling susulan kecederaan memperoleh keputusan seri tanpa jaringan kedua berturut-turut selepas diikat Jerman, minggu lalu.

Penyerang Liverpool, Dominic Solanke juga membuat penampilan pertamanya pada lewat permainan yang menjadikannya pemain England keenam membuat penampilan pertama dalam dua perlawanan.

SOUTHGATE (kiri) bangga dengan pemain muda selepas berjaya ikat asakan Brazil. FOTO/REUTERS
SOUTHGATE (kiri) bangga dengan pemain muda selepas berjaya ikat asakan Brazil. FOTO/REUTERS

“Daripada sudut hati, sikap melawan dan semangat, semuanya ada seperti yang saya mahukan,” kata Southgate kepada ITV.

“Kami bermain menentang dua pasukan terbaik dunia dan berjaya mengekalkan gawang tanpa bolos dan ia memberikan kami keyakinan.”

Ketika Southgate berbangga dengan kematangan yang ditampilkan skuad mudanya, ia sesuatu yang berbeza bagi Tite.

Brazil menang 13 daripada 17 perlawanan sejak dia mengambil alih tugas jurulatih pada Jun tahun lalu, namun kegagalan untuk menewaskan skuad mentah England melahirkan persoalan mengenai prospek mereka untuk menjulang Piala Dunia keenam di Russia tahun depan.

“Satu pasukan mengawal perlawanan, cuba untuk memberikan tekanan dan mengawal bola,” kata Tite.

“Satu lagi pasukan lebih banyak bertahan, bermain dengan lebih padat dan menunggu kesilapan untuk melakukan serangan balas.

“Dalam perlawanan seperti ini, peluang adalah terhad. Tetapi sekali pun peluang yang kami peroleh sedikit berbanding dengan perlawanan lain, kami mendapat peluang yang terbaik.

“Saya langsung tidak boleh mengingati satu atau dua peluang mereka yang benar-benar menakutkan kami.”

PENYERANG Brazil,  Willian (kiri) gagal membolosi gawang England. FOTO/REUTERS
PENYERANG Brazil, Willian (kiri) gagal membolosi gawang England. FOTO/REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 10:12 AM