PENGURUS England, Gareth Southgate memerhatikan sesi latihan pasukannya menjelang perlawanan terakhir kumpulan dengan Republik Czech , Selasa ini. FOTO EPA
PENGURUS England, Gareth Southgate memerhatikan sesi latihan pasukannya menjelang perlawanan terakhir kumpulan dengan Republik Czech , Selasa ini. FOTO EPA
AFP

London: Gareth Southgate mengakui England tidak boleh mengeluh akibat reaksi marah penonton sendiri ketika seri tanpa jaringan dengan musuh ketat, Scotland pada aksi Euro 2020, semalam.

Anak buah Southgate 'diboo' selepas wisel pelawat perlawanan selepas hanya mampu mencipta satu percubaan tepat sahaja.

Lima hari selepas memulakan kempen Kumpulan D dengan aksi longgar ketika menang 1-0 ke atas Croatia, jentera serangan England sekali lagi gagal mengancam.

England kekal berada landasan untuk layak ke pusingan kalah mati menjelang perlawanan terakhir kumpulan menentang Republik Czech, Selasa ini.

Tetapi mereka perlu meningkat jika mahu memenangi kejohanan dan Southgate berkata, dia sudah menjangkakan reaksi itu pada perlawanan derby dengan Scotland.

"Ini adalah kejohanan dan memang penting sekiranya tidak mampu menang, anda tidak kalah," kata Southgate.

"Ia sudah tentu sukar pada 15 minit terakhir perlawanan apabila penyokong mendesak anda terus mara dan melupakan struktur pasukan kerana aksi menentang Scotland adalah satu kesempatan yang unik.

"Tetapi, kami masih dalam pendekatan bahawa satu mata masih penting untuk mara dan melangkah ke pusingan berikutnya adalah objektif utama kami."

Southgate menegaskan, tindakannya tepat apabila tidak mengarahkan pemainnya untuk terlalu menyerang pada hujung aksi kerana mereka boleh terdedah kepada serangan balas lawan.

"Ia adalah malam yang agak panik, bukan perlawanan yang dikuasai dan anda perlu pastikan berjaya memungut mata dan menguruskan kejohanan serta perlawanan dengan baik," kata Southgate.

"Adalah satu perjudian sekiranya kami mara dan hilang struktur pasukan pada hujung perlawanan, kemudiannya kalah pada lima minit terakhir. Kemudian anda marah kepada diri sendiri.

"Saya faham kami beraksi di Wembley menentang Scotland dan semua orang mahu kami menang.

"Kami pun mahu menang, tetapi ini adalah konteks kejohanan dan kemaraan ke pusingan berikutnya adalah keutamaan paling penting."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 10:28 PM