GARETH SOUTHGATE
GARETH SOUTHGATE
Reuters

LANGKAH England semakin jauh sejak Gareth Southgate mengendalikan pasukan tetapi masih banyak yang perlu dibuktikan pasukannya seperti ketika melakar kejutan dengan layak ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu.

Skuad Southgate memulakan kempen kelayakan untuk Euro 2020 tahun depan dengan kemenangan ke atas Republik Czech dan Montenegro untuk mendahului Kumpulan A menjelang aksi berdepan Bulgaria di Wembley awal pagi esok.

Semangat optimis yang semakin memuncak itu bagaimanapun tergugat Jun lalu apabila kelemahan England terdedah ketika tewas 1-3 kepada Belanda pada separuh akhir Liga Negara Eropah.

Kemenangan ke atas Bulgaria dan Kosovo pada awal pagi Rabu akan memastikan kelayakan ke pusingan akhir tahun depan tetapi Southgate percaya England tidak boleh terleka.

“Kami perlu buktikan sesuatu dari aspek ranking dunia. Kami kompetitif berdepan mana-mana pasukan tetapi mana-mana pasukan mampu menewaskan kami,” katanya pada sidang media awal pagi tadi.

“Kami perlu berjaya untuk meningkatkan mentaliti pasukan, mereka bersemangat melakukanya. Kami mahu membangkitkan semangat mereka setiap hari ketika latihan dan meneruskannya di padang.

“Kami perlu menangani kempen kelayakan ini dengan baik. Sejak beberapa tahun ini kami berjaya membentuk sebuah pasukan yang unggul dan berharap mereka bermain dengan corak digemari penonton.”

Di bawah kendalian Southgate England, di tangga keempat ranking FIFA, memberi tumpuan terhadap pemain muda seperti penyerang Manchester United Marcus Rashford dan Jadon Sancho dari Borussia Dortmund untuk berdepan Bulgaria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 10:33 AM