JORDAN Pickford (kanan) memberi semangat kepada Saka. FOTO AFP
JORDAN Pickford (kanan) memberi semangat kepada Saka. FOTO AFP
Agensi

London: Roy Keane mengkritik barisan pemain senior England kerana tidak mengambil tanggungjawab melakukan sepakan penalti ketika tewas kepada Itali pada pentas final Euro.

England tewas selepas pemain berusia 19 tahun, Bukayo Saka gagal menyempurnakan sepakan penalti paling penting sekali gus menyaksikan Itali menewaskan England menerusi penentuan penalti 3-2.

Sebelum itu, Marcus Rashford dan Jadon Sancho juga gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Saka yang juga bintang Arsenal perlu memastikan dapat menghidupkan peluang England namun sepakan penaltinya dinafikan oleh penjaga gol Itali, Gianluigi Donnraumma.

Roy Keane bersimpati dengan pemain sayap itu sambil menegaskan barisan pemain senior lain sepatutnya ke depan untuk mengambil sepakan penalti berbanding memberi tekanan kepada bintang muda itu.

"Jika anda (Jack) Grealish atau (Raheem) Sterling, anda tidak sepatutnya membenarkan seorang budak muda mengambil sepakan penalti," kata bekas bintang Ireland dan Manchester United itu kepada ITV.

"Anda tidak boleh duduk dan hanya berkata 'saya nampak budak berusia 19 tahun berjalan di depan saya ketika saya beraksi lebih banyak perlawanan dan berpengalaman'...dan Sterling yang pernah memenangi trofi.

"Sebagai pemain senior, anda tidak boleh duduk diam sahaja. Anda sepatutnya ke depan dan menawarkan diri mengambil tanggungjawab itu."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 8:23 AM