PEMAIN Itali meraikan kejayaan selepas menewaskan Hungary. FOTO AP
PEMAIN Itali meraikan kejayaan selepas menewaskan Hungary. FOTO AP
AFP

Budapest: Itali yang gagal kali kedua berturut-turut ke Piala Dunia mengubati kekecewaan mereka dalam saingan Eropah selepas membenam Hungary 2-0 di Budapest untuk menduduki tangga teratas kumpulan saingan Liga Negara-Negara awal pagi tadi.

Giacomo Raspadori yang menjaringkan gol kemenangan ketika menentang England Sabtu lalu menolak bola masuk untuk meletakkan Itali di depan pada minit ke-27.

"Kami perlukan kemenangan ini untuk memulihkan semula semangat walaupun masih terasa pedih kegagalan ke Piala Dunia namun kami tak boleh terus bersedih," kata penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma.

"Kami perlu bermula semula dan melakukan semuanya untuk Itali."

Hungary yang sebelum perlawanan mendahului Kumpulan A3 berusaha mencari gol penyamaan tetapi Donnarumma menyelamatkan dua percubaan pantas daripada Loic Nego dan Adam Szalai pada minit ke-50.

Dua minit kemudian, Federico Dimarco menambah jaringan kedua pelawat selepas mendapat hantaran Bryan Cristante untuk jaringan antarabangsa pertamanya sekali gus gol ke-1,500 Itali.

Itali cekal bertahan selepas itu dan mengiringi Belanda serta Croatia mara ke pusingan akhir pada Jun 2023.

"Kami cemerlang pada 70 minit pertama tetapi 20 minit terakhir agak hambar," kata jurulatih Itali, Roberto Mancini.

"Kami gembira, ia penting dapat mara ke pusingan akhir Liga Negara-Negara buat kali kedua."

Hungary pula terus gagal meraih kemenangan ke atas Itali sejak 1955 dan ia aksi antarabangsa terakhir buat kapten Adam Szalai, 34, yang mendapat tepukan bergemuruh ketika dikeluarkan pada minit ke-75.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 8:03 AM