KAI Havertz (kiri) meraikan jaringan pertama bersama Mats Hummels. FOTO AFP
KAI Havertz (kiri) meraikan jaringan pertama bersama Mats Hummels. FOTO AFP
Agensi

Munich: Joachim Low berkata Jerman akan tampil dengan prestasi berbeza ketika menentang England pada peringkat kalah mati Euro 2020 selepas hambar ketika menentang Hungary.

Jaringan lewat Leon Goretzka menyelamatkan tuan rumah yang hanya mampu seri 2-2 di Allianz Arena selepas dua kali ketinggalan awal pagi tadi.

Tetapi Low tetap berpuas hati dengan cara Jerman bangkit bagi menduduki tangga kedua Kumpulan F di belakang Perancis.

"Kami mempunyai sikap yang sangat baik, kami membuat kesilapan tetapi kami tidak biarkan sahaja dan terus berjuang,'' kata Low.

"Ia bukan perlawanan mudah. Kami tahu Hungary akan memberikan apa sahaja dan kita dapat saksikan hari ini.

THOMAS Mueller (kiri)  mengasari pemain Hungary Attila Fiola. FOTO EPA
THOMAS Mueller (kiri) mengasari pemain Hungary Attila Fiola. FOTO EPA

"Dapat mara dari kumpulan ini sudah cukup baik dan itu sasarannya. Perancis pun hanya seri 1-1 dengan Hungary, pasukan kerdil bersemangat tinggi. Ia bukan mudah, tiada apa yang mereka perlu kecewakan.

"Tetapi pada akhirnya yang penting kami mara.''

Jamal Musiala yang berusia 18 tahun 117 hari muncul pemain paling muda tampil untuk Jerman di kejohanan utama apabila masuk menggantikan Robin Gosens mendapat pujian Low.

"Musiala tidak gentar dan penuh yakin," kata Low. "Dia merampas bola dan tampil aksi yang sangat bagus."

Bercakap mengenai peluang menentang England pada Rabu depan, dia berkata: "Kami sangat teruja dapat menentang England di Wembley. Kami akan bersiap sedia sebaiknya dan tampil dengan aksi berbeza, itu janji saya.''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:45 AM