BARISAN pemain Leicester meraikan kejayaan mereka muncul juara Piala FA
BARISAN pemain Leicester meraikan kejayaan mereka muncul juara Piala FA
AFP

London: Pengurus Leicester Brendan Rodgers memuji 'pencapaian bersejarah' pasukannya menewaskan Chelsea 1-0 untuk menjulang Piala FA buat kali pertama dalam sejarah 137 tahun kelab itu.

Gol sensasi dari Youri Tielemans disaksikan oleh 22,000 penyokong di Wembley.

Jumlah penonton paling ramai untuk acara sukan di England sejak pandemik melanda 14 bulan lalu menyaksikan gol yang layak menjulang ketika pemain tengah Belgium itu meledak ke penjuru gawang minit ke-63.

Lima tahun selepas Foxes mengejutkan gergasi Liga Perdana Inggeris apabila menjadi juara, Leicester kini menjulang trofi berprestij bola sepak Inggeris pada percubaan kali kelimanya.

Mereka tewas empat kali di final yang kali terakhir beraksi pada 52 tahun lalu.

"Ini adalah hari bersejarah bagi kelab bola sepak," kata Rodgers.

"Memenangi Piala FA buat kali pertama. Saya sangat gembira untuk pemain dan penyokong. Mereka tewas empat kali di final dan sekarang kali kelima kami berjaya melakukannya untuk mereka."

Minggu bersejarah buat skuad Rodgers akan menjadi lebih baik ketika mereka juga boleh mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Skuad berkenaan akan sekali lagi bertemu dalam tempoh tiga hari di Stamford Bridge dalam pertembungan penting yang menentukan empat kedudukan teratas Liga Perdana.

"Kejayaan pasukan ini dan kelab ialah berada dalam kedudukan seperti ini dan terus bersaing. Kelab besar dijangka akan menang tetapi kejayaan kami ialah bersaing dan jika kami boleh beraksi seperti hari ini kami boleh melakukannya dan menang," kata Rodgers.

Chelsea pula perlu segera membalas selepas kalah buat kali keempat dalam 27 perlawanan sejak Thomas Tuchel menggantikan Frank Lampard pada Januari.

Skuad Blues juga perlu melihat final Liga Juara-Juara berdepan Manchester City dalam tempoh dua minggu namun boleh menamatkan kempen tanpa trofi atau tempat ke kejohanan elit Eropah musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 8:22 AM