MOUNT (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
MOUNT (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Seville: Gol menarik Mason Mount membantu Chelsea melakar kemenangan 2-0 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara hari ini ke atas Porto yang mensia-siakan deretan peluang.

Jaringan Mount pada babak pertama jelas mengecewakan Porto yang dilihat lebih menguasai perlawanan di Seville namun seringkali gagal menyempurnakan kelebihan yang mereka perolehi.

Porto bertambah derita selepas Ben Chilwell memanfaatkan kesilapan barisan pertahanan tuan rumah untuk menambah gol kedua pada lewat permainan sekali gus Chelsea semakin hampir meraih tiket ke separuh akhir.

Real Madrid mungkin lawan seterusnya yang akan ditemui Chelsea selepas kelab gergasi Sepanyol itu menewaskan Liverpool 3-1 pada perlawanan suku akhir pertama.

"Terdapat suasana yang positif di bilik persalinan. Kami gembira tetapi tidak terlalu berasa gembira. Teruja tetapi tidak terlalu teruja," kata pengurus Chelsea, Thomas Tuchel.

"Kami perlu mempunyai mentaliti yang tinggi serta mempamer persembahan lebih baik pada aksi suku akhir kedua nanti."

Gol Mount menyaksikannya muncul pemain termuda Chelsea menjaringkan gol untuk kelab itu pada saingan Liga Juara-Juara di usia 22 tahun dan 87 hari.

Manakala gol kedua Chilwell menyaksikan kelab itu memperoleh dua gol menerusi dua penjaring Inggeris di Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2012.

Kemenangan itu juga memulihkan semula motivasi Chelsea yang tewas mengejut 2-5 kepada West Brom di tempat sendiri pada saingan Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 8:14 AM