PEMAIN Manchester City Bernardo Silva (kanan) dan Kyle Walker berlatih menjelang perlawanan dengan Real Madrid. FOTO REUTERS
PEMAIN Manchester City Bernardo Silva (kanan) dan Kyle Walker berlatih menjelang perlawanan dengan Real Madrid. FOTO REUTERS
Reuters

Madrid: Bek kanan Manchester City, Kyle Walker akan merebut tempat untuk menentang Real Madrid di perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Khamis, kata pengurus, Pep Guardiola, namun bek tengah, John Stones tersisih kerana cedera.

Walker tidak bermain sejak cedera ketika bertemu Atletico Madrid di suku akhir, bulan lalu, dan Guardiola berkata, dia akan membuat keputusan saat akhir mengenai kecergasan pemain berusia 31 tahun itu untuk pertarungan di Santiago Bernabeu.

Rakan sepasukannya bersama England, Stones yang cedera ketika City menang 4-3 ke atas Real di Stadium Etihad, minggu lalu, terlepas perlawanan Liga Perdana Inggeris ketika menang 4-0 di Leeds United.

"Walker kembali berlatih dan dia akan bersama pasukan. Kami akan membuat keputusan esok. Dia tidak berlatih selama tiga minggu dan gembira dia kembali semula, tetapi Stones tidak cergas," kata Guardiola pada sidang media, hari ini.

City berhasrat melangkah ke final Liga Juara-Juara Eropah buat kali kedua berturut-turut dengan mengatasi Real yang baru dinobatkan sebagai juara La Liga, sekali gus membalas kekecewaan tahun lalu apabila kecundang di tangan Chelsea di final di Porto.

"Dua pasukan yang bagus, kita lihatnya seminggu lalu. Mereka adalah juara di Sepanyol dan kami akan menjadi juara di sini," kata Guardiola, yang menyaksikan pasukannya mendahului satu mata di depan Liverpool pada kempen Liga Perdana Inggeris.

"Kami melihat beberapa perkara perlu diperbaiki dan kami akan cuba serta melakukannya."

Pemain tengah, Kevin De Bruyne, yang menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Real di Manchester minggu lalu, berkata memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama akan mengubah suasana di kelab itu.

City menjadi kuasa digeruni di England sejak kehadiran Guardiola pada 2016, tetapi masih mencari gelaran pertama Liga Juara-Juara Eropah manakala Real mencipta rekod menang 13 kali.

"Kami tidak pernah menang, tetapi jika menang, ia akan mengubah segala-galanya. Ia akan mengubah perspektif dari luar kelab," kata De Bruyne.

"Hakikat bahawa kami berjuang sejak beberapa tahun lalu dan semakin menghampiri gelaran membuktikan kami bertindak dengan baik."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 10:08 PM